IPOH 17 Mac – Pemaju hartanah, MK Land Holdings Berhad memanfaatkan musim cuti perayaan sebagai peluang terbaik untuk mempromosikan projek kediaman terbaharunya di sekitar Ipoh kepada bakal pembeli.
Usaha itu dilaksanakan menerusi kempen promosi bergerak yang diadakan di beberapa pusat beli-belah utama di bandar raya ini.
Ini memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat secara terus mengenai projek perumahan yang ditawarkan khususnya warga Perak yang kini menetap di luar.
Ketua Pegawai Operasi Wilayah Utara MK Land, Nazri Tumin berkata, potensi pasaran di Ipoh dilihat semakin meningkat berikutan harga rumah yang ditawarkan masih kompetitif berbanding kawasan lain, terutamanya di Lembah Klang.

Menurut beliau, selain faktor harga, projek kediaman yang dibangunkan juga menampilkan rekaan moden, lokasi strategik serta dilengkapi pelbagai kemudahan yang mampu memenuhi keperluan pembeli masa kini.
“Ketika cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini, kami turut mengadakan kempen Jualan Terhebat Gong Xi Fa Cai dan Pra-Ramadan ‘Satu Orang Satu Rumah’ di pentas utama Mydin Meru Raya bagi mempromosikan beberapa projek perumahan MK Land kepada orang ramai.
“Melalui kempen itu, pengunjung yang hadir berpeluang mengetahui dengan lebih dekat pelbagai projek kediaman yang ditawarkan syarikat berkenaan di sekitar Ipoh.
“Kita menerima maklum balas positif terutama daripada bakal pembeli yang ingin menjadikan kediaman ini sebagai aset pelaburan atau persediaan persaraan pada masa hadapan,” ujarnya kepada DagangNews.



Antara projek yang diketengahkan ialah Carissa, rumah teres dua tingkat dengan keluasan 1,651 kaki persegi yang dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air serta terletak berhampiran kawasan pembangunan pesat Bandar Meru Raya dan Klebang.
Selain itu, projek Lily turut ditawarkan dengan keluasan 1,150 kaki persegi yang menampilkan empat bilik tidur dan tiga bilik air di kawasan Raia Perdana.
Sementara itu, projek Eugenia pula menawarkan rumah teres dua tingkat dengan keluasan lebih besar iaitu 1,855 kaki persegi lengkap dengan empat bilik tidur dan tiga bilik air, selain kelebihan tawaran ‘early bird’ kepada pembeli terawal.
Dalam pada itu, MK Land turut mempromosikan projek komersial Perdana Centerpoint 3, iaitu rumah kedai dua dan tiga tingkat dengan keluasan 3,336 kaki persegi yang terletak berhampiran kawasan Meru Perdana.

Nazri berkata, harga kediaman yang ditawarkan oleh MK Land adalah antara RM250,000 hingga RM420,000, sekali gus menjadikannya pilihan menarik kepada pembeli yang ingin memiliki rumah pertama atau membuat pelaburan hartanah di Ipoh.
Beliau menambah, pihaknya optimis kempen promosi bergerak yang diadakan sepanjang musim perayaan mampu menarik lebih ramai pembeli berpotensi, khususnya dalam kalangan warga Perak yang pulang ke kampung halaman ketika cuti panjang. - DagangNews.com








