Mitsubishi Xforce bermula RM109,980 terima 2,600 tempahan sebelum pelancaran rasmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mitsubishi Xforce bermula RM109,980 terima 2,600 tempahan sebelum pelancaran rasmi

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 April — Model baharu kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak Mitsubishi Xforce sudah mencatat kira-kira 2,600 tempahan awal sebelum pelancaran rasmi, menurut Mitsubishi Motors Malaysia.


Perkembangan positif sejak tempahan dibuka pada 5 Februari 2026 itu, turut menunjukkan permintaan terhadap kenderaan jenis tersebut semakin meningkat dan menjadi trend utama industri automotif.


Sambutan memberangsangkan itu jelas kumpulan pemotoran berkenaan, mencerminkan perubahan keutamaan pengguna Malaysia ke arah kenderaan menggabungkan gaya, keselesaan dan praktikal harian.


"Tempahan awal melayakkan pelanggan menikmati promosi istimewa termasuk rebat tunai RM5,000; tiga kali penyelenggaraan tanpa kos buruh dalam masa lima tahun serta tawaran eksklusif lain," katanya.

 

Mitsubishi

 

Mitsubishi


Mitsubishi Motors Malaysia menambah, bagi meraikan pencapaian tersebut, promosi istimewa berkenaan dilanjutkan hingga 12 April 2026, dan mengukuhkan kedudukan jenama itu dalam pasaran SUV tempatan.


Model SUV kompak itu ditawarkan dalam dua varian iaitu Urban pada harga RM109,980 dan Ultimate dengan RM119,980, sekali gus menyasarkan segmen pengguna bandar yang mahukan kenderaan serba guna.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Takashi Sakamaki berkata, pertumbuhan segmen SUV kompak meningkat 6.3% setakat tahun kewangan syarikat, didorong permintaan terhadap reka bentuk moden.


"Dalam usaha meningkatkan daya tarikan, beberapa pakej aksesori dan program tambahan seperti rebat kesetiaan dan skim tukar beli bagi pelanggan di Lembah Klang diwujudkan," jelas beliau dalam kenyataan.
 

Mitsubishi

 

Mitsubishi


Di samping itu, Mitsubishi Motors Malaysia menyasarkan penghantaran sebanyak 800 unit pertama model tersebut bermula hari ini selepas diselesaikan proses kesiapsiagaan pengeluaran dan kawalan kualiti.


Dari segi spesifikasi, Xforce dilengkapi enjin 1.5L bersama transmisi CVT, empat mod pemanduan dan sistem keselamatan bantuan pemandu (ADAS), selain ciri keselesaan seperti teknologi audio premium.


Pelancaran model ini dilihat sejajar perubahan gaya hidup pengguna yang cenderung kepada kenderaan lebih praktikal dan versatil pada nilai harga kompetitif serta penggunaan fleksibel. - DagangNews.com