KUALA LUMPUR 12 Feb - Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) memberi amaran, cukai import Amerika Syarikat (AS) terhadap keluli dan aluminium dijangka menyebabkan lambakan produk tersebut memasuki Malaysia.
Menurut MISIF, kesan langsung daripada cukai 25% yang dikenakan oleh AS masih belum pasti, namun ia dijangka mempercepatkan pengalihan perdagangan ke Malaysia.
Kumpulan yang mewakili lebih daripada 150 syarikat dalam industri keluli itu menyatakan, tanpa tindakan segera, pengeluar keluli tempatan berisiko terjejas.
"Tanpa tindakan tegas dari kerajaan, pengeluar keluli Malaysia akan menghadapi kesan buruk yang berpanjangan.
"Persekutuan menggesa kerajaan untuk memperkukuhkan undang-undang anti-lambakan, mempercepatkan siasatan dan melaksanakan langkah perlindungan bagi memastikan kelangsungan industri ini," kata MISIF dalam satu kenyataan.
Isnin lalu, Presiden AS Donald Trump, mengumumkan kenaikan cukai import keluli dan aluminium kepada 25%, menghapuskan pengecualian dan perjanjian kuota untuk negara-negara tertentu.
Cukai itu akan dikenakan ke atas sebahagian besar import dari Kanada, Brazil, Mexico, Korea Selatan dan negara-negara lain yang sebelum ini menikmati pengecualian.
Menurut MISIF, negara-negara seperti China, Korea, Jepun dan Vietnam yang sebelum ini mengelak cukai AS, kini dijangka mengalihkan eksport mereka ke Malaysia.
Vietnam dan Jepun khususnya mendapat akses percuma ke Malaysia melalui perjanjian perdagangan bebas.
MISIF juga menegaskan, negara-negara yang mengelak cukai sebelum ini seperti China, telah mengalihkan eksport mereka ke Kanada, Mexico dan Brazil.
Namun, tindakan tersebut telah menyebabkan negara-negara berkenaan mengenakan cukai mereka sendiri dengan kesannya sudah dirasai oleh industri global.
MISIF memberi amaran, tanpa amalan perdagangan yang adil, pengeluar keluli Malaysia berisiko digantikan oleh produk yang dijual pada harga yang tidak adil, sekali gus menjejaskan industri tempatan.
Minggu lalu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan siasatan terhadap dakwaan lambakan produk keluli dari China, Korea Selatan dan Vietnam, susulan pelaksanaan cukai anti-lambakan terhadap wayar keluli tertentu dari China. - DagangNews.com








