MISC berpeluang manfaatkan kadar sewa kapal tangki tinggi di pasaran global pada FY26 – CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MISC berpeluang manfaatkan kadar sewa kapal tangki tinggi di pasaran global pada FY26 – CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 FebMISC Berhad dijangka menjadi penerima utama berikutan peningkatan kadar sewa kapal tangki minyak mentah pada FY26 setelah mencecah paras tinggi dalam sejarah bagi 1QFY26


Menurut CGS International (CGSI), perkembangan positif itu sekali gus diramal berupaya dalam membuka banyak laluan untuk lonjakan potensi pendapatan dan penarafan semula saham kumpulan tersebut.


Justeru, ia mengulangi saranan 'tambah' dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM8.98 daripada RM8.43 sebelumnya, disokong oleh rentetan kemenangan kontrak sewa baharu dan kadar yang kukuh.


"MISC sebagai syarikat perkapalan terkemuka Malaysia, memiliki armada luas dengan lebih 120 kapal termasuk kapal gas asli cecair (LNG) beroperasi di pasaran global," jelas firma itu dalam notanya.


Tambah CGSI, kadar purata penyewaan meningkat dua kali ganda pada 1Q26F berbanding 1Q25, susulan peningkatan pengeluaran oleh anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) pada 2025. 


Di samping itu katanya, pengurangan pembelian minyak Rusia oleh China serta India akibat sekatan antarabangsa oleh Amerika Syarikat (AS) memacu permintaan ke atas kapal tangki syarikat besar.


Dalam suasana geopolitik yang melibatkan embargo atau kemungkinan tindakan terhadap pengeksport seperti Iran, permintaan kapal tangki utama dijangka meningkat 5% tahun ke tahun (YoY) pada 2026.


"Kami mengenal pasti masih terdapat lagi permintaan tambahan yang lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan bekalan kapal tangki dengan diunjurkan berupaya naik kira-kira 2.8%," jelas CGSI.


Dari segi kontrak baharu, MISC sudah memenangi beberapa segmen utama termasuk tiga kapal LNG, dan dua kapal pengangkut etana saiz besar (VLEC) yang dimasukkan dalam pengiraan TP disemak semula.


Firma tersebut melihat potensi pemulihan pendapatan LNG apabila kapal‑kapal baru diserahkan, serta sumbangan keuntungan daripada pelbagai projek luar pesisir yang dijangka bermula pada tahun ini.


Selain itu, CGSI menggariskan beberapa pencetus penarafan semula positif, termasuk kadar sewa yang tinggi untuk jangka panjang, pemulihan pendapatan segmen LNG, dan sumbangan projek luar pesisir.


"Bagaimanapun kami memberi amaran risiko yang masih lagi tetap wujud sekiranya berlaku pengurangan pengeluaran oleh OPEC+ apabila harga minyak lemah, atau penyusutan jarak penghantaran," katanya.


Situasi tersebut timbul jika Eropah kembali membeli minyak Rusia, serta kelemahan dolar AS yang boleh memberi kesan kepada kos operasi MISC di pasaran antarabangsa. - DagangNews.com