KUALA LUMPUR 19 Feb - Tender kapal sokongan logistik pelbagai peranan (Multi Role Support Ship - MRSS) Tentera Laut Diraja Malaysia semakin cerah apabila kerajaan dijangka mempercepatkan proses tersebut.
Kementerian Pertahanan (Mindef) akan menawarkan tender untuk membekalkan kapal tersebut pada tahun ini kepada syarikat yang layak.
Laman web pertahanan Defense Security Asia (DSA) melaporkan, tender tersebut bakal menarik penyertaan beberapa buah syarikat pembina kapal terkemuka dunia.
Perolehan 2 kapal MRSS merupakan inisiatif utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan bermula tahun depan sehingga tahun 2030.

Bagi kapal ketiga pula, perolehan dijangka dibuat dalam tempoh RMK-14 (2031-2035).
Walaupun tidak dinyatakan tetapi kontrak membekalkan kapal MRSS dijangka antara RM3 hingga RM5 bilion.
Kapal MRSS merupakan aset strategik bertujuan meningkatkan keupayaan maritim negara khususnya logistik dan atur gerak.
Program yang dirancang sejak 20 tahun lalu itu telah beberapa kali tertangguh yang mana kelewatan pembelian boleh merencatkan keupayaan TLDM.
Menurut laporan DSA, antara yang disebut-sebut sebagai calon. berpotensi ialah firma perkapalan dari Korea Selatan, Hyundai Heavy Industries (HHI) yang juga merupakan gergasi kejuruteraan maritim negara itu.


HHI dijangka akan menawarkan MRSS yang dibina berasaskan kapal HDL-13000 dengan berat kira-kira 10,000 tan mengikut ciri-ciri diinginkan TLDM.
Kapal ini direka untuk melaksanakan pelbagai tugasan seperti operasi amfibia, sokongan logistik, bantuan perubatan, operasi mencari dan menyelamat serta menjadi kapal induk.
HHI sepanjang 10 tahun lalu tidak ketinggalan hadir pada pameran pertahanan di sini seperti LIMA dan DSA dalam usaha mempromosikan teknologi yang dimiliki.
Model kapal HDL-13000 juga pernah dipamerkan semasa edisi LIMA lalu.


Korea Selatan dikatakan ingin mengulangi kejayaan memenangi tender Mindef selepas berjaya mendapat kontrak membekalkan 18 pesawat tempur ringan FA-50M kepada TUDM.
Penjualan pesawat-pesawat tersebut penting untuk Korea Selatan mengukuhkan lagi kerjasama dalam industri pertahanan di sini.
Ketika ini satu-satunya kapal TLDM buatan republik tersebut ialah KD Mahawangsa yang dibina limbungan Tacoma, Korea Selatan pada 1982.
Selain Korea Selatan, turut mengintai peluang sama ialah PT PAL dari Indonesia, Damen (Belanda), Naval Group (Perancis) dan TAIS (Turkiye).

Kapal pemerintah, logistik dan pelbagai peranan (MPCSS) ini menjadi tulang belakang TLDM dalam flotila bantuan sejak 40 tahun dan memerlukan pengganti.
Pada Mei tahun lalu, TLDM memaklumkan 4 perolehan berada dalam senarai perlu agar angkatan tersebut dapat memainkan peranan lebih berkesan mengawasi perairan negara.
Antaranya kapal MRSS selain kapal selam, kapal misi pesisir (LMS) dan kapal tempur pesisir (LCS).
Rancangan ini dilaksanakan menerusi Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform) supaya angkatan laut negara mempunyai keupayaan yang diperlukan. - DagangNews.com








