microLEAP, HDC jalin kerjasama perluas akses pembiayaan patuh syariah untuk PKS halal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

microLEAP, HDC jalin kerjasama perluas akses pembiayaan patuh syariah untuk PKS halal

Majlis pertukaran dokumen perjanjian kerjasama strategik antara Halal Development Corporation (HDC) dan microLEAP.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Okt - microLEAP dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) menjalinkan kerjasama strategik bagi memperluas akses pembiayaan patuh syariah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang diperakui halal.

 

Kerjasama ini menyokong fokus kerajaan dalam memperkukuh ekonomi halal Malaysia sebagai tonggak utama pertumbuhan negara serta menyokong pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang beraspirasikan “Halal Malaysia yang Terserlah, Tersusun dan Bertaraf Global”.

 

Inisiatif itu selaras dengan Teras Strategik 4 HIMP 2030 dengan menumpukan kepada pengukuhan infrastruktur kewangan dan akses modal bagi membolehkan perusahaan halal berkembang dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

 

Kerjasama itu turut menyelaraskan kesediaan kewangan dengan piawaian pensijilan halal, membantu usahawan beralih daripada sekadar mendapat pensijilan kepada menjadi pemain industri yang lebih kompetitif.

 

Inisiatif itu juga bertujuan menarik lebih ramai pelabur menyertai pembiayaan PKS berasaskan syariah, sekali gus memperkukuh tadbir urus dan ketahanan ekonomi halal negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, kerjasama itu adaah selari dengan hala tuju dasar kerajaan dan pelaksanaan pasaran sebenar.

 

“Misi kami adalah membuka laluan pembiayaan yang adil, telus dan mudah diakses. Dengan Belanjawan 2026 yang menggariskan hala tuju jelas bagi pertumbuhan mampan dan inklusif, pembiayaan patuh syariah mesti memainkan peranan utama dalam memperkasa PKS halal.

 

"Kerjasama dengan HDC membolehkan kami memperluas visi ini dengan lebih bermakna — membantu perniagaan berkembang, mengeksport dan menyumbang kepada kepimpinan Malaysia dalam ekonomi Halal global,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Melalui kerjasama itu, lebih 14,000 ahli berdaftar Platform Integrasi Halal (HIP) HDC akan mendapat akses kepada ekosistem pembiayaan patuh Syariah microLEAP, bagi tujuan pengembangan perniagaan, persediaan pensijilan Halal dan pembiayaan pertumbuhan baharu.

 

microLEAP menawarkan dua produk utama iaitu Pembiayaan Mikro – sehingga RM50,000 untuk keperluan modal kerja dan pengembangan awal, Pembiayaan Invois – dengan had sehingga RM500,000 bagi syarikat yang memerlukan aliran tunai lebih besar.

 

Kedua-dua produk itu direka bagi menawarkan pembiayaan yang fleksibel, telus dan beretika, sejajar dengan prinsip syariah.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, kerjasama itu sejajar dengan matlamat jangka panjang kerajaan untuk memajukan ekonomi Islam sebagai pemacu pertumbuhan negara.

 

"Belanjawan 2026 dan HIMP 2030 sama-sama mengiktiraf sektor halal sebagai pemangkin inovasi dan keterangkuman.

 

"Cabaran sebenar bagi perniagaan halal bukan hanya pensijilan, tetapi akses kepada modal. Dengan kerjasama microLEAP, kami menyokong misi membina ekosistem Halal yang bersepadu, berdaya saing dan mampan, agar perniagaan dapat berinovasi dan bersaing di peringkat global,” katanya.- DagangNews.com