MHIT asas 2027 ditawar sebagai polisi berdiri sendiri – MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MHIT asas 2027 ditawar sebagai polisi berdiri sendiri – MOF

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 Dis – Skim Pelan insurans perubatan dan kesihatan asas (MHIT) yang akan diperkenalkan pada awal 2027 akan ditawarkan sebagai produk berdiri sendiri tanpa elemen pelaburan, sekali gus menandakan perubahan besar dalam landskap insurans perubatan negara, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

 

Dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen, MOF memaklumkan status pelan perubatan yang dijual sebagai rider dalam polisi berkaitan pelaburan kini sedang dikaji semula oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Menurut MOF, ketika ini perlindungan MHIT di Malaysia boleh ditawarkan sebagai rider dalam polisi berkaitan pelaburan dengan struktur kadar premium rata sepanjang tempoh polisi melalui dana awal bagi menampung kos insurans masa hadapan.

 

Namun, kadar premium tersebut tidak dijamin dan boleh dinaikkan sekiranya polisi tidak lagi mampan.

 

Keadaan itu boleh berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk pulangan pelaburan yang lemah, pelarasan semula kos insurans bagi rider MHIT serta pengeluaran nilai akaun oleh pemegang polisi, katanya.

 

“Sekiranya pemegang polisi tidak bersetuju untuk membayar premium tambahan atau membuat ‘top-up’, tempoh perlindungan polisi pelaburan itu boleh menjadi lebih singkat.

 

“Situasi ini menjadikan polisi berkaitan pelaburan lebih kompleks dan pengguna perlu menilai risiko dengan teliti,” menurut MOF.

 

Jawapan itu dikemukakan bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) mengenai sama ada insurans berkaitan pelaburan akan terus dibenarkan di bawah kerangka MHIT asas yang bakal dilaksanakan kerajaan.

 

Sim turut meminta penjelasan mengenai tindakan BNM terhadap syarikat insurans yang menjual polisi berkaitan pelaburan dengan janji pulangan tinggi tetapi gagal menunaikannya, sehingga menyebabkan tempoh perlindungan menjadi jauh lebih singkat.

 

MOF memaklumkan BNM telah menetapkan peraturan lebih ketat bagi pentadbiran perniagaan polisi berkaitan pelaburan bagi memastikan tatakelakuan jualan yang profesional dan beretika, termasuk tahap ketelusan maklumat yang lebih tinggi kepada pengguna.

 

Sebagai contoh, syarikat insurans dan takaful kini diwajibkan mendedahkan tahap kemampanan polisi berkaitan pelaburan kepada pemegang polisi setiap tahun, termasuk prestasi pelaburan dan kecukupan premium semasa untuk mengekalkan perlindungan sehingga tamat tempoh polisi.

 

MOF menegaskan kerajaan komited melaksanakan pembaharuan menyeluruh sistem kesihatan negara berasaskan nilai, bagi memastikan perlindungan kesihatan terus lebih mampan, inklusif dan mampu dibiayai oleh rakyat dalam jangka panjang. - DagangNews.com