Metro Moscow kini mencapai tahun ke-90 operasinya, menandakan satu pencapaian penting bagi salah satu sistem pengangkutan bandar terbesar dan paling lama beroperasi di dunia.
Sejak mula beroperasi pada tahun 1935, sistem ini telah berkembang sehingga meliputi lebih 550 kilometer laluan, dengan 302 stesen dan memberikan perkhidmatan purata 8 juta perjalanan penumpang setiap hari bekerja.
Maksim Liksutov, Timbalan Datuk Bandar Moscow bagi Pengangkutan dan Industri, berkata, “Pembukaan Metro pada tahun 1935 merupakan peristiwa bersejarah bagi ibu kota kita dan seluruh negara.” Malahan, beberapa dekad yang lalu, para pekerja dan pembina telah menetapkan piawaian tertinggi dalam perkhidmatan kepada penumpang.
Hari ini, selaras dengan matlamat yang ditetapkan oleh Datuk Bandar Moscow, Sergey Sobyanin, kami terus mengekalkan piawaian tersebut. Lebih 65,000 pekerja yang kini bekerja di Metro Moscow. Mereka bukan sahaja membantu memberikan perkhidmatan kepada jutaan penumpang setiap hari, tetapi juga gigih memastikan kepercayaan penduduk Moscow terus terjalin, agar setiap perjalanan meninggalkan pengalaman yang positif. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap kakitangan atas dedikasi mereka dan mendoakan kejayaan yang berterusan buat mereka.”
Pada mulanya, Metro Moscow dilancarkan dengan satu laluan sepanjang 11.5 kilometer dan 13 stesen, dan sejak itu ia telah berkembang dengan pesat sepanjang sembilan dekad. Pada tahun 2024 sahaja, sistem ini telah mengangkut sebanyak 2.7 bilion penumpang.


Proses pemodenan telah dijalankan secara berterusan. Kini, lebih 75% daripada tren merupakan model baharu yang dilengkapi dengan ciri-ciri seperti kawalan kelajuan automatik, laluan antara gerabak terbuka, serta sistem keselamatan yang dipertingkatkan. Kemajuan ini membolehkan operasi dengan frekuensi tinggi, dengan sela masa serendah 90 saat semasa waktu puncak.
Sistem ini juga telah melaksanakan penyelesaian tiket digital, termasuk kad pintar, tiket maya dan pembayaran biometrik, yang kini digunakan dalam kebanyakan perjalanan harian. Teknologi ini bertujuan untuk melancarkan aliran penumpang serta meningkatkan kemudahan akses.
Bagi memperingati ulang tahun tersebut, pelbagai acara dan pameran telah dianjurkan di bandar ini untuk menonjolkan sejarah serta perkembangan sistem metro. Pameran awam memaparkan tren generasi awal yang telah dipulihara serta bahan arkib yang mendokumentasikan perkembangan rangkaian tersebut.
Sebagai salah satu sistem metro yang paling sibuk di dunia, Metro Moscow terus memainkan peranan penting dalam pengangkutan bandar, mencerminkan perkembangan pelaburan infrastruktur, integrasi teknologi serta pembangunan pengangkutan awam sepanjang abad lalu. - DagangNews.com








