PNB lancar model saringan MSRI, gabung Maqasid al-Syariah dan ESG dalam keputusan pelaburan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PNB lancar model saringan MSRI, gabung Maqasid al-Syariah dan ESG dalam keputusan pelaburan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Julai - Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan Model Saringan Maqasid Al-Syariah untuk Pelaburan Bertanggungjawab (MSRI), satu rangka kerja baharu yang menggabungkan prinsip Maqasid al-Syariah dengan faktor Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam proses penilaian dan membuat keputusan pelaburan.

 

PNB dalam kenyataan berkata, model itu akan digunakan dalam analisis pelaburan bagi portfolio domestiknya, sekali gus memperluaskan saringan patuh Syariah yang sebelum ini lebih tertumpu kepada aspek kewangan kepada penilaian aktiviti perniagaan secara lebih menyeluruh.

 

Menurut PNB, rangka kerja MSRI menilai sesuatu pelaburan berdasarkan lima dimensi Maqasid al-Syariah yang diperkenalkan oleh Imam al-Ghazali, di samping mengintegrasikan elemen ESG dalam proses penilaian.

 

Model itu turut merangkumi skor kontroversi dan skor bonus bagi mengukur impak negatif syarikat serta inisiatif positif yang dilaksanakan, sekali gus membolehkan penilaian pelaburan dibuat secara lebih komprehensif.

 

Pengerusi PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, pembangunan model tersebut merupakan hasil kerjasama erat antara PNB dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

Menurut beliau, kerjasama itu membuktikan bagaimana institusi pelaburan negara dan institusi agama mampu berganding bahu membangunkan ekosistem kewangan yang bukan sahaja mampan dari segi kewangan, malah berteraskan nilai serta etika.

 

"Model ini mencerminkan komitmen PNB untuk memperkukuh amalan pelaburan bertanggungjawab dengan menggabungkan prinsip Syariah dan kelestarian dalam rangka kerja pelaburan kami," katanya.

 

Pelancaran model MSRI itu diadakan bersempena Wacana Literasi Kewangan Islam Berteraskan Maqasid Al-Syariah di Bangi.

 

Khultah Zakat al-Mustaghallat

Pada majlis sama, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) turut melancarkan kaedah Khultah (kolektif) Zakat al-Mustaghallat, yang memberi kemudahan kepada pelabur Muslim dalam dana unit amanah harga tetap ASNB untuk menunaikan kewajipan zakat tahunan mereka secara lebih mudah dan sistematik.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kemudahan itu membolehkan pelabur ASNB menunaikan zakat dengan lebih mudah tanpa menjejaskan pulangan pelaburan mereka.

 

"Pendekatan ini membolehkan pelabur terus menikmati pulangan pelaburan bersih yang kompetitif, di samping memastikan kewajipan zakat diurus secara sistematik dan mematuhi prinsip Syariah," katanya.

 

Kemudahan Zakat Khultah diperkenalkan pada 25 Mei 2026 susulan penstrukturan semula dana harga tetap ASNB kepada Unit Kelas A dan Unit Kelas B.

 

Di bawah penstrukturan itu, semua pemegang unit sedia ada ditempatkan secara automatik di bawah Kelas A, manakala Kelas B diperuntukkan kepada pelabur Muslim yang memilih supaya zakat mereka diuruskan oleh ASNB menerusi mekanisme secara kolektif.

 

Bagi pemegang Unit Kelas B, zakat dikira pada kadar 2.57% daripada dividen sebelum agihan, membolehkan mereka menerima dividen yang telah ditolak zakat serta disucikan mengikut prinsip Syariah.

 

PNB berkata, metodologi al-Mustaghallat yang digunakan telah mendapat kelulusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada September 2025.

 

Sehingga 16 Julai 2026, seramai 131,121 pelabur Muslim telah memilih untuk menyertai pengaturan Unit Kelas B bagi membolehkan zakat mereka diuruskan melalui mekanisme Khultah. - DagangNews.com