IGB Commercial REIT catat hasil RM71.2 juta pada 2Q26, agih dividen 1.35 sen seunit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IGB Commercial REIT catat hasil RM71.2 juta pada 2Q26, agih dividen 1.35 sen seunit

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Julai - IGB Commercial REIT (IGBCR) mencatat pertumbuhan dua digit bagi hasil dan pendapatan hartanah bersih (NPI) pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2Q26), disokong kadar penghunian serta kadar sewaan yang lebih tinggi. 

 

Bagi suku berkenaan, jumlah hasil meningkat 10.3% kepada RM71.2 juta berbanding RM64.6 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan hartanah bersih (NPI) pula melonjak 18.5% kepada RM45.1 juta daripada RM38.1 juta yang dicatatkan pada suku kedua 2025.

 

IGBCR dalam kenyataan berkata, peningkatan prestasi itu didorong oleh pendapatan sewaan yang lebih tinggi hasil peningkatan kadar penghunian dan kadar sewaan purata, selain disokong kos pembiayaan yang lebih rendah pada suku semasa.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2026, hasil terkumpul meningkat 10.4% kepada RM141.1 juta berbanding RM126.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam tempoh sama, NPI meningkat 16.4% kepada RM89.5 juta daripada RM76.9 juta.

 

Sejajar dengan prestasi kewangan yang lebih baik, Pengurus mengisytiharkan agihan sebanyak 95% daripada pendapatan boleh agih suku tahunan, berjumlah RM32.8 juta atau 1.35 sen bagi setiap unit.

 

Prospek

Mengulas prospek, IGBCR menjangkakan pasaran pejabat Malaysia akan terus berdaya tahan sepanjang 2026, disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang stabil meskipun persekitaran global masih dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik dan tekanan inflasi.

 

Menurutnya, walaupun bekalan ruang pejabat baharu dijangka terus bertambah, permintaan dijangka kekal tertumpu kepada bangunan pejabat berkualiti tinggi di lokasi strategik apabila penyewa semakin mengutamakan kecekapan operasi, kualiti ruang kerja dan aspek kelestarian.

 

"Portfolio IGBCR berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan keadaan ini, disokong oleh lokasi aset yang strategik, hartanah berkualiti tinggi serta pengurusan aset yang aktif.

 

"Kami juga terus mendapat manfaat daripada momentum penyewaan yang mampan dan permintaan penyewa terhadap ruang pejabat premium, mencerminkan trend 'flight-to-quality' yang berterusan dalam pasaran pejabat komersial," katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi mengekalkan daya saing jangka panjang, Pengurus berkata pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada strategi penyewaan yang proaktif, pengurusan kos secara berdisiplin, pelaksanaan inisiatif penambahbaikan aset serta pelaburan yang berteraskan kelestarian. - DagangNews.com