Meta Bright, Best Fresh Mart teroka cara jimatkan elektrik kurangkan kos operasi pasar raya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Meta Bright, Best Fresh Mart teroka cara jimatkan elektrik kurangkan kos operasi pasar raya

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei – Meta Bright Group Berhad terus memperkukuh kedudukan dalam sektor tenaga komersial apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Best Fresh Mart Sdn Bhd untuk meneroka pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga di seluruh rangkaian premis pasar raya tersebut.

 

Kerjasama ini menandakan langkah strategik baharu Meta Bright yang bukan sahaja tertumpu kepada pemasangan sistem tenaga solar (PV) tetapi turut berkembang kepada usaha mengurangkan penggunaan elektrik secara keseluruhan di bangunan komersial.

 

Sebelum ini, Meta Bright telah pun bekerjasama dengan Best Fresh Mart menerusi projek penyelesaian solar PV tanpa kos permulaan di beberapa cawangan mereka di Kapar, Selangor dan Bukit Rambai Putra, Melaka.

 

Namun, pendekatan baharu ini memberi fokus lebih luas, iaitu mengoptimumkan penggunaan tenaga sedia ada dalam bangunan pasar raya yang sememangnya mempunyai penggunaan elektrik tinggi.

 

Ini termasuk sistem penyejukan, pencahayaan, dan pengudaraan yang beroperasi sepanjang masa bagi memastikan operasi pasar raya berjalan lancar.

 

Di bawah MOU tersebut, Meta Bright akan bertindak sebagai penyedia penyelesaian penuh, termasuk menilai keperluan tenaga, membiayai projek, mereka bentuk sistem, memasang peralatan serta mengendalikan operasi sistem kecekapan tenaga tersebut.

 

Best Fresh Mart pula akan memberikan akses kepada premis serta data penggunaan tenaga bagi membolehkan Meta Bright menjalankan analisis terperinci terhadap corak penggunaan elektrik dan mengenal pasti pembaziran tenaga.

 

Model kerjasama ini tidak memerlukan sebarang pelaburan awal daripada pihak Best Fresh Mart, sekali gus membantu mengurangkan beban kos operasi mereka.

 

Sebagai balasan, Meta Bright akan menjana pendapatan melalui penjimatan kos elektrik yang berjaya dicapai hasil pelaksanaan sistem tersebut, menjadikannya sumber pendapatan berulang jangka panjang.

 

Menurut Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright Group Berhad, Derek Phang Kiew Lim, kos elektrik merupakan antara komponen terbesar dalam operasi peruncitan yang membuka ruang besar untuk penjimatan melalui teknologi kecekapan tenaga.

 

“Pendekatan ini merupakan langkah seterusnya selepas kejayaan projek solar PV bersama Best Fresh Mart, dengan fokus kini beralih kepada pengurangan penggunaan tenaga secara lebih menyeluruh.

 

“Model pembiayaan dan operasi oleh Meta Bright membolehkan perniagaan seperti pasar raya menikmati penjimatan segera tanpa perlu mengeluarkan modal, di samping mengukuhkan kedudukan syarikat dalam sektor tenaga lestari,” katanya.

 

Meta Bright turut melihat potensi untuk memperluaskan model yang sama kepada rangkaian pasar raya lain, hotel, bangunan komersial serta fasiliti industri yang berdepan cabaran kos tenaga yang tinggi.

 

Dengan pendekatan ini, Meta Bright menyasarkan untuk membina aliran pendapatan jangka panjang yang stabil melalui projek kecekapan tenaga di samping menyokong usaha penggunaan tenaga yang lebih efisien dan mampan dalam sektor komersial di Malaysia. - DagangNews.com