KUALA LUMPUR 27 Jan – Ketika ketegangan geopolitik semakin memuncak merentas blok-blok utama dunia, Asia Tenggara kian muncul sebagai sebuah “oasis” kestabilan relatif, sekali gus meletakkan ASEAN sebagai hab neutral bagi perdagangan, pelaburan dan diplomasi dalam landskap global yang semakin terpecah, menurut Maybank Investment Bank Research.
Membuat perbandingan dengan siri fiksyen sains 1990-an Babylon 5 — sebuah stesen angkasa gergasi yang berfungsi sebagai kawasan neutral untuk kuasa-kuasa bersaing — Maybank IB Research berkata keterbukaan ASEAN, ekonomi berorientasikan pasaran serta keseimbangan politik menjadikan rantau ini berada pada kedudukan terbaik untuk menarik aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang semakin meningkat serta mendapat manfaat daripada penstrukturan semula rantaian bekalan global.
Namun, peranan strategik ini hadir bersama satu keperluan kritikal: tenaga.
“Seperti stesen Babylon 5 yang sepanjang lima batu, sejumlah besar tenaga diperlukan untuk menyokong aliran pelaburan semasa dan masa hadapan ke rantau ini,” kata Maybank IB, sambil menekankan peningkatan pesat aktiviti intensif tenaga seperti pusat data, pembuatan termaju dan infrastruktur digital.
Dalam konteks ini, inisiatif serantau seperti Grid Tenaga ASEAN atau ASEAN Power Grid (APG) — yang bertujuan memperkukuh kesalinghubungan grid rentas sempadan, kebolehpercayaan sistem dan keselamatan tenaga — semakin menjadi elemen strategik utama.
Pada peringkat nasional pula, agenda peralihan tenaga Malaysia dilihat sebagai tonggak penting yang menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang serta peluang dalam pasaran ekuiti.
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia, yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya, sedang dioperasikan melalui peluasan pantas program tenaga boleh diperbaharui (RE). Malaysia menyasarkan RE menyumbang 40% daripada kapasiti terpasang menjelang 2035 dan 70% menjelang 2050.
Ketika ASEAN terus meletakkan dirinya sebagai platform neutral dan stabil dalam landskap global yang semakin berpecah, Maybank IB berpandangan infrastruktur tenaga — khususnya pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dan grid — akan menjadi faktor penentu dalam menjana fasa pertumbuhan seterusnya rantau ini, dengan Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk muncul sebagai penerima manfaat utama
Tenaga Nasional Berhad
Tenaga Nasional Berhad (TNB) memainkan peranan teras dalam peralihan ini, dengan komitmen perbelanjaan modal sebanyak RM43 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2027 untuk menaik taraf dan memperkukuh grid nasional.
Maybank IB menjangkakan perbelanjaan modal tambahan bersifat kontingen akan bersifat menambah pendapatan, dipacu oleh peningkatan permintaan elektrik dan keperluan pemodenan grid.
Pecutan pembangunan RE ini turut mewujudkan pelbagai peluang pertumbuhan merentas rantaian nilai tenaga.
Solarvest kekal sebagai pilihan utama sektor Maybank IB susulan pengambilalihan 22% pegangan strategik dalam syarikat tersenarai Pasaran ACE, Solar District Cooling Group (SDCG).
Langkah ini membolehkan Solarvest menawarkan penyelesaian menyeluruh merangkumi solar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan kecekapan tenaga kepada pelanggan komersial dan industri.
Firma penyelidikan itu turut menyatakan, tempahan awal serta pengukuhan ringgit dijangka menyokong daya tahan margin meskipun kos panel solar diramal meningkat pada 2026.
Sementara itu, pemain RE bersepadu Cypark, bersama Sunview di bawah konsortium 49:51, telah memperoleh kuota untuk membangunkan loji solar fotovoltaik berskala besar berkapasiti 100MWac di bawah program LSS5+.
Konsortium tersebut telah memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun dengan Tenaga, dengan operasi komersial dijadual bermula pada Februari 2028.
Wasco Greenergy
Maybank IB juga telah memulakan liputan ke atas Wasco Greenergy, yang mereka bentuk, mengeluarkan dan mengedar dandang serta set penjana turbin stim.
Syarikat itu diunjurkan mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun keuntungan sebanyak 16% bagi tempoh FY2024 hingga FY2027, disokong oleh kitaran peningkatan tempahan dandang biomas.
Ini susulan kejayaan pembidaan projek tenaga boleh diperbaharui berkapasiti 181MW di bawah program Feed-in Tariff (FiT), dengan pembekalan elektrik kepada TNB dijangka bermula menjelang 2028. - DagangNews.com








