MEF lantik bekas Pengarah Urusan Aeon Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed sebagai Ketua Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MEF lantik bekas Pengarah Urusan Aeon Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed sebagai Ketua Eksekutif

Gambar hiasan dari Linkedin Sheikh Farouk Sheikh Mohamed
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Dis - Bekas Pengarah Urusan Aeon Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed telah dilantik sebagai Ketua Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

 

Presiden MEF Datuk Syed Hussain berkata, Sheikh Farouk merupakan "pilihan ideal" untuk memimpin persekutuan dalam tempoh transformasi ini, memetik pengalaman kepimpinannya yang luas, perspektif global dan kepintaran strategiknya.

 

"Kami yakin kepimpinan beliau akan meningkatkan peranan MEF sebagai suara yang dipercayai untuk majikan di Malaysia," kata Syed Hussain dalam satu kenyataan, 

Sheikh Farouk, seorang akauntan bertauliah dan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA), telah memegang peranan kepimpinan dalam syarikat multinasional, termasuk Nestlé dan Aeon Big.

 

Di Aeon Big, beliau menguruskan 22 pasar raya besar dan lebih 2,400 pekerja, menumpukan pada kecekapan operasi dan pertumbuhan yang mampan.

 

Sebelum pelantikan terbarunya, Sheikh Farouk berkhidmat sebagai ahli majlis MEF selama dua tahun.

 

Sebagai Ketua eksekutif, beliau akan ditugaskan untuk mengetuai usaha advokasi MEF untuk majikan, memacu dasar buruh yang progresif, dan memupuk kerjasama dengan pihak berkepentingan utama untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

 

Sementara itu, MEF mengumumkan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan, akan beralih kepada peranan penasihat selepas 25 tahun memegang jawatan itu, terus memberi nasihat dan bimbingan strategik.

 

Menerusi peranan baharunya, Shamsuddin akan memberi tumpuan untuk menyediakan panduan mengenai dasar buruh dan pekerjaan, membimbing pemimpin MEF masa depan, dan mengukuhkan hubungan dengan pihak berkepentingan dan organisasi antarabangsa, seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Konfederasi Majikan Asean (ACE).- DagangNews.com