KUALA LUMPUR 12 Feb - Media Selangor menerusi Kluster Penjanaan Hasil melancarkan kempen khas dikenali sebagai SAMA, satu inisiatif berkonsepkan aktiviti lapangan yang bertujuan memperkukuh kolaborasi strategik bersama vendor, klien dan komuniti menerusi siri jelajah di seluruh negeri Selangor.
Kempen SAMA akan dilaksanakan melalui pelbagai siri jelajah merangkumi daerah, komuniti, institusi pengajian tinggi (IPT) serta sekolah dengan pendekatan yang interaktif, inklusif dan berimpak tinggi kepada masyarakat setempat termasuk mengetengahkan program serta inisiatif Kerajaan Negeri Selangor.
Antara pengisian utama aktiviti lapangan di bawah kempen ini adalah perkongsian ilmu, pembangunan kemahiran serta penglibatan komuniti secara menyeluruh yang dirangka berasaskan keperluan sebenar masyarakat sasaran.
Kempen SAMA tidak hanya tertumpu kepada aktiviti jualan dan pemasaran produk atau perkhidmatan, sebaliknya diperluaskan kepada penganjuran bengkel kecantikan dan kesihatan, sesi perkongsian ilmu, demonstrasi praktikal, bengkel keusahawanan serta program kesedaran masyarakat berkaitan isu sosial, kesihatan awam dan kesejahteraan komuniti.
Selain itu, kempen ini turut membuka ruang kepada pelaksanaan pengumuman khidmat awam (PSA), aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), program kemasyarakatan seperti gotong-royong serta pelbagai inisiatif berbentuk ilmiah dan pendidikan yang mampu memperkasakan komuniti.

Ketua Kluster Penjanaan Hasil Media Selangor, Nursuziana Zulkifli berkata menerusi SAMA, Media Selangor berperanan sebagai platform penghubung strategik antara klien, rakan industri dan masyarakat.
“Menerusi SAMA, Media Selangor menyampaikan nilai, kemahiran, teknik serta maklumat bermanfaat secara langsung kepada komuniti, sekali gus mewujudkan hubungan dua hala yang memberi manfaat kepada semua pihak terlibat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan kempen SAMA mencerminkan evolusi Media Selangor sebagai sebuah organisasi media yang berkembang kepada entiti perniagaan pelbagai merangkumi kepakaran dalam pengurusan acara, penganjuran seminar, pengurusan kempen komunikasi serta pengurusan krisis, selari dengan keperluan industri dan landskap komunikasi semasa.
“SAMA bukan sekadar aktiviti di lapangan, tetapi satu platform strategik yang mencerminkan keupayaan Media Selangor sebagai rakan kolaborasi menyeluruh kepada klien dan vendor,” tambahnya.
Majlis pelancaran kempen SAMA telah diadakan bersempena Townhall Media Selangor dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree, sebagai platform pengenalan awal kempen ini kepada umum, khususnya kepada vendor berpotensi yang berminat untuk terlibat dalam siri jelajah akan datang.

Jemputan kepada vendor bagi menghadiri sesi townhall tersebut juga merupakan langkah awal ke arah membuka ruang kerjasama strategik serta menggalakkan penyertaan aktif dalam menjayakan kempen SAMA pada masa hadapan.
Kempen SAMA dijangka menjadi platform berterusan yang bukan sahaja mempertemukan vendor, klien dan komuniti, malah mengukuhkan peranan Media Selangor sebagai pemangkin kolaborasi strategik yang memberi manfaat bersama, selari dengan aspirasi pembangunan ekonomi dan sosial negeri Selangor.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen SAMA dan peluang kolaborasi, pihak yang berminat boleh menghubungi Kluster Penjanaan Hasil Media Selangor iaitu Mohd Yusri Anuar: 017-606 5745, Syahir Khadri: 014-311 6704, Tengku Musaeddin: 017-285 4730 dan Rozaida Hashim: 016-320 3413.
Mengenai kempen SAMA:
SAMA yang membawa maksud Support.Aspire.Move.Activation – menerapkan pendekatan kebersamaan dan kerjasama, dengan konsep buat bersama, bergerak bersama dan berkongsi manfaat bersama.
Kempen ini merangkumi 10 tema aktiviti lapangan iaitu:
● Sama Sihat (Kesihatan)
● Sama Gaya (Gaya Hidup)
● Sama Jiwa (Kerohanian)
● Sama Didik (Pendidikan)
● Sama Hustle (Keusahawanan)
● Sama Glow (Kecantikan)
● Sama Rasa (Pemakanan)
● Sama Budaya (Warisan dan Tradisi)
● Sama Kasih (Kebajikan dan CSR)
● Sama Alam (Kelestarian)
Konsep ini selari dengan aspirasi untuk membina ekosistem kerjasama yang mampan serta memberi impak positif kepada pembangunan sosial dan ekonomi setempat.
Media Selangor Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) [MBI Selangor] yang berperanan sebagai platform komunikasi strategik dalam menyampaikan maklumat, inisiatif dan dasar kepada masyarakat.
Selain penerbitan kandungan berita dan digital, Media Selangor turut berkembang sebagai entiti perniagaan pelbagai yang menawarkan kepakaran dalam pengurusan acara, penganjuran seminar, pengurusan kempen komunikasi bersepadu serta pengurusan krisis.
Melalui pendekatan kolaboratif dan berimpak tinggi, Media Selangor komited memperkukuh jaringan kerjasama antara sektor awam, swasta dan komuniti demi menyokong pembangunan sosial dan ekonomi yang mampan di negeri Selangor. - DagangNews.com








