MDEC bakal jalankan inisiatif penggunaan teknologi merentasi perniagaan, tingkatkan sumbangan ekonomi digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MDEC bakal jalankan inisiatif penggunaan teknologi merentasi perniagaan, tingkatkan sumbangan ekonomi digital

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menjalankan inisiatif digital, pembangunan bakat dan penggunaan teknologi merentasi perniagaan bagi meningkatkan sumbangan ekonomi digital melepasi 25.5% daripada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) 2025, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Anuar Fariz Fadzil. 

 

Beliau berkata, dasar digital proaktif negara, khususnya dalam kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan bakat mendorong Malaysia menjadi hab serantau celik digital. 

 

Katanya, kerjasama antara sektor awam dan swasta memacu lagi kepakaran AI dan kuantum pengkomputeran, menjadi pemangkin merentasi sektor seperti pembuatan, kewangan dan perkhidmatan. 

 

“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan daya saing perniagaan kecil dan sederhana (PKS), terus menarik pelaburan berkualiti tinggi dan membangunkan tenaga kerja mahir digital yang bersedia untuk masa depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau menekankan pelaburan langsung asing (FDI) sebagai pemacu utama pertumbuhan negara,khususnya pelaburan pusat data.

 

“Malaysia telah menarik lebih RM86 bilion dalam pelaburan pusat data pada 2024, menjadikan negara kita sebagai hab pusat data terkemuka di Asia Tenggara dengan 77 pusat data di seluruh negara,” katanya.

 

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1% pada 2024, dipacu oleh  eksport kukuh, kelulusan pelaburan dan kemajuan dalam projek sektor awam-swasta, termasuk inisiatif pemangkin di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Digital dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, kata Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat. 

 

“Pertumbuhan ini mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia, dengan ekonomi digital memainkan peranan yang semakin penting dalam memacu pemulihan ekonomi masa depan,” kata Anuar.

 

Pelaburan Digital memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negara keseluruhan sebanyak 5.1% pada 2024.

 

Di bawah Malaysia Digital (MD), jumlah pelaburan digital yang diluluskan pada 2024 direkodkan sebanyak RM 163.6 bilion, mengatasi pelaburan yang diluluskan. 

 

Selain itu, aliran masuk pelaburan digital dalam tempoh ini juga mewujudkan lebih 48,000 pekerjaan, melepasi jumlah 2023 sebanyak 109%.

 

Sementara itu, sektor yang mencatat kluster pelaburan digital termasuk perkhidmatan perniagaan global (RM139 bilion), teknologi maklumat (RM23 bilion) dan kandungan kreatif (RM887 juta).  - DagangNews.com