MCMC siasat penyebaran imej berita palsu, individu dipanggil bantu siasatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC siasat penyebaran imej berita palsu, individu dipanggil bantu siasatan

Individu yang disyaki memuat naik hantaran berkenaan telah dipanggil untuk membantu siasatan dan keterangan telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Melaka
Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 6 NovSuruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran tular di Facebook yang memaparkan imej berita Utusan Malaysia yang telah disunting dan mengandungi dakwaan palsu melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 


Hantaran berkenaan mendakwa kononnya Perdana Menteri mengakui melakukan kesilapan dalam perjanjian bersama Amerika Syarikat, namun siasatan awal mengesahkan imej tersebut adalah palsu dan telah dimanipulasi secara digital.

 


Menurut kenyataan MCMC hari ini, hasil siasatan mendapati pihak Utusan Malaysia menafikan sekeras-kerasnya pernah menerbitkan laporan sedemikian dan mengesahkan penggunaan logo serta identiti akhbar itu adalah tidak sah dan tanpa kebenaran.

 


“Individu yang disyaki memuat naik hantaran berkenaan telah dipanggil untuk membantu siasatan dan keterangan telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Melaka,” menurut MCMC.

 


Tambah kenyataan itu lagi, sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM turut dirampas bagi tujuan analisis forensik digital.



Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

 


MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan membuat semakan kesahihan maklumat sebelum menyebarkan sebarang kandungan di media sosial, khususnya yang menggunakan nama atau logo organisasi media tanpa kebenaran.

 


“Penyebaran kandungan palsu boleh menjejaskan kredibiliti sumber berita yang sah dan boleh membawa kepada tindakan undang-undang,” jelas suruhanjaya itu lagi. - DagangNews.com