MCMC siasat lima individu sebar maklumat palsu kenaikan harga bahan api | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC siasat lima individu sebar maklumat palsu kenaikan harga bahan api

Sesi rakaman percakapan ke atas suspek-suspek yang terlibat - Gambar MCMC
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap lima individu yang disyaki telah menyebarkan maklumat palsu mengenai kenaikan harga bahan api petrol dan diesel di platform media sosial Threads. 

 

MCMC berkata 3 daripada 5 suspek tersebut telah dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.

 

Menurut aduan yang diterima, kandungan yang disebarkan oleh kesemua suspek berkaitan kenaikan harga bahan api petrol dan diesel didapati palsu, mengelirukan serta berpotensi menimbulkan kegelisahan kepada pengguna.

 

 

 

 

 

 

Maklumat palsu itu disebarkan menggunakan identiti visual Buletin TV3 namun telah dinafikan oleh agensi media tersebut.

 

“MCMC juga telah menerima aduan daripada Buletin TV3 bahawa kandungan palsu yang tular tersebut adalah bukan daripada mereka dan dilakukan oleh pihak ketiga.

 

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” menurut kenyataan itu.

 

MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.

 

 

 

 

 

 

Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.

 

Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam. - DagangNews.com