KUALA LUMPUR 26 Jun – Penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Bering Baru, Gua Musang mendapat akses perkhidmatan komunikasi lebih baik susulan langkah proaktif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk penyediaan perkhidmatan Internet secara percuma menerusi teknologi WiFi yang disalurkan melalui kemudahan Broadband Wireless Access (BWA).
Di bawah inisiatif itu, setiap penduduk yang berdaftar layak menerima 5GB data percuma setiap bulan, selain berpeluang mendapatkan data tambahan menerusi ejen terpilih yang telah dilantik.
MCMC berkata, pihaknya akan terus memantau dan memastikan liputan komunikasi di kawasan berkenaan berada dalam keadaan optimum demi keselesaan penduduk.

KOA Kampung Bering Baru antara 18 lokasi di Gua Musang yang terlibat dalam penambahbaikan liputan komunikasi menerusi kemudahan BWA di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) kendalian MCMC.
Bagi pelaksanaan jangka panjang, MCMC turut mengenal pasti tapak berhampiran kampung tersebut untuk pembinaan menara telekomunikasi baharu, yang telah dimasukkan dalam perancangan fasa seterusnya di bawah pelan pembangunan infrastruktur JENDELA.- DagangNews.com








