MBSB Research turunkan penarafan Oriental Kopi kepada Neutral, semak unjuran hingga FY2028 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research turunkan penarafan Oriental Kopi kepada Neutral, semak unjuran hingga FY2028

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Mei – MBSB Research telah menurunkan penarafan saham Oriental Kopi Holding Berhad daripada “Beli” kepada “Neutral” berikutan keputusan kewangan suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26) yang berada di bawah jangkaan, selain tekanan margin yang berterusan dalam jangka terdekat.

 

Firma penyelidikan itu turut menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM1.06 daripada RM1.18 sebelum ini, mencerminkan unjuran keuntungan yang lebih konservatif bagi tahun-tahun akan datang.

 

Menurut MBSB Research, semakan ke bawah terhadap unjuran pendapatan dibuat sebanyak -10% bagi FY2026, -9% bagi FY2027 dan -9% bagi FY2028, susulan peningkatan kos operasi termasuk kos jualan, kos pekerja, perbelanjaan pemasaran serta kos pembukaan outlet baharu.

 

"Walaupun hasil syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh, pertumbuhan keuntungan tidak bergerak seiring akibat tekanan margin yang semakin ketara," kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Bagi 2QFY26, Oriental Kopi merekodkan hasil sebanyak RM147.3 juta, meningkat 42.7 peratus tahun ke tahun (YoY) dan 5.8 peratus suku ke suku (QoQ).

 

Namun, keuntungan bersih teras (core PATAMI) hanya meningkat 2.5 peratus YoY kepada RM15 juta, menunjukkan ketidakseimbangan antara pertumbuhan jualan dan keuntungan.

 

Untuk separuh pertama FY2026 (1HFY26), PATAMI meningkat 13.9 peratus YoY kepada RM32.1 juta, namun hanya memenuhi sekitar 41 peratus daripada unjuran penuh tahun MBSB Research.

 

Firma itu turut menyatakan  prestasi tersebut berada di bawah jangkaan pasaran, yang menganggarkan sekitar 38 peratus daripada konsensus penuh setahun.

 

Tiada dividen diumumkan bagi suku tersebut.

 

Dari segi segmen perniagaan, operasi kafe kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil RM131.5 juta, disokong oleh pembukaan cawangan baharu, peningkatan trafik pelanggan serta musim perayaan.

 

Segmen makanan berbungkus dan pengedaran pula mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 125.9 peratus YoY kepada RM14.4 juta, dipacu oleh pengembangan rangkaian runcit dan peningkatan jualan produk.

 

Walaupun pertumbuhan hasil memberangsangkan, margin kasar kumpulan menyusut kepada 21.6 peratus berbanding 24.7 peratus setahun lalu, dipengaruhi kos bahan mentah dan kos operasi yang lebih tinggi.

 

MBSB Research berkata tekanan margin ini turut memberi kesan kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) yang meningkat sederhana 8.3 peratus YoY kepada RM19.7 juta, namun mencatat penurunan 11.6 peratus QoQ.

 

Firma itu menjangkakan tekanan kos akan berterusan dalam jangka pendek, dipacu oleh kos pembukaan outlet baharu, perbelanjaan pemasaran serta peningkatan kos tenaga kerja.

 

Bagaimanapun, prospek jangka sederhana kumpulan kekal disokong oleh pengembangan rangkaian kafe, pertumbuhan segmen makanan berbungkus serta inisiatif berkaitan pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. - DagangNews.com