MBSB Research turunkan harga sasaran Axiata, bimbang prestasi lebih lemah XLSmart dan LinkNet | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research turunkan harga sasaran Axiata, bimbang prestasi lebih lemah XLSmart dan LinkNet

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Mei — Walaupun keuntungan suku pertama 2026 melonjak lebih 170%, MBSB Research mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap Axiata Berhad dan menurunkan harga sasaran (TP) saham itu.

 

Firma penyelidikan itu menyemaknya kepada RM2.07 daripada RM2.21 sebelum ini susulan kebimbangan terhadap prestasi anak syarikat, XLSmart dan LinkNet serta risiko makroekonomi yang berterusan.


Ujarnya, peningkatan keuntungan suku tahunan banyak didorong oleh inisiatif pengurusan kos yang lebih berkesan, manakala operasi di pasaran membangun terus mencatatkan prestasi memberangsangkan.


"Bagaimanapun, sumbangan yang lebih lemah daripada XLSmart, dan LinkNet menimbulkan kekhuatiran terhadap prospek pertumbuhan Axiata dalam tempoh mendatang," jelas MBSB Research dalam notanya.


Bagi 1QFY26, keuntungan teras naik 174.2% tahun ke tahun (YoY) kepada RM438.3 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus melonjakkan margin keuntungan kepada 15.7% daripada hanya 5.5%.


Hasil kumpulan berkenaan namun susut kira-kira 3.2% kepada sebanyak RM2.8 bilion akibat pengukuhan nilai ringgit berbanding mata wang tempatan di semua pasaran operasi syarikat itu di luar negara.


MBSB Research berkata, prestasi kewangan suku pertama Axiata itu mengatasi jangkaan dan konsensus pasaran, masing-masing 80.9% dan 72.9% daripada unjuran keuntungan penuh tahun kewangan 2026.


"Dari sudut kedudukan kewangan, nisbah hutang bersih kepada hasil kasar bertambah baik kepada 2.51 kali berbanding 3.00 kali pada suku sebelumnya berikutan pengurangan pinjaman agresif," tambahnya.

 

Artikel berkaitan: Keuntungan bersih Axiata meningkat 71.3% kepada RM273.8 juta pada 1QFY26

 

Perkembangan tersebut ujarnya, meletakkan kumpulan itu di landasan tepat untuk mencapai sasaran strategik '5x5' iaitu nisbah hutang bersih kepada hasil kasar kurang 2.5 kali pada akhir 2026.


Sehubungan prestasi lebih baik, MBSB Research menaikkan unjuran pendapatan Axiata bagi FY26 hingga FY28 masing-masing 109%, 75.1% dan 59.2%, selepas menyemak semula andaian susut nilai serta kos.


Ia turut mengambil kira dasar pembayaran dividen kumpulan itu yang lebih baik sejajar sasaran pertumbuhan dividen sesaham iaitu 10% setahun sehingga 2028 di bawah pelan strategik 'Axiata 28'.


"Bagaimanapun, TP dikurangkan berikutan peningkatan kadar diskaun penilaian kepada 35% daripada 30% sebelum ini, serta mengambil kira penyingkiran saham Axiata daripada indeks MSCI," jelasnya.


Meskipun lembaran imbangan semakin kukuh, prestasi keseluruhan kumpulan masih terdedah kepada cabaran makroekonomi, pergerakan pertukaran asing dan pelbagai risiko kawal selia.  - DagangNews.com