MBSB Research menilai harga saham Sunway Healthcare yang bakal disenaraikan di Papan Utama pada RM1.48 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research menilai harga saham Sunway Healthcare yang bakal disenaraikan di Papan Utama pada RM1.48

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac – MBSB Research menilai Sunway Healthcare Holdings Bhd pada harga wajar RM1.48 sesaham, mencerminkan penilaian yang hampir kepada nilai semasa saham tersebut iaitu RM1.45.

 

Menurut firma penyelidikan itu, harga wajar berkenaan diperoleh berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 45 kali yang disandarkan kepada unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27 sebanyak 3.3 sen.

 

“Walaupun prospek pertumbuhan syarikat dilihat kukuh, potensi kenaikan harga saham dalam jangka pendek adalah terhad memandangkan ia kini diniagakan hampir kepada nilai wajarnya.

 

“Penilaian pada premium berbanding purata sektor sekitar 30 hingga 35 kali turut mencerminkan jangkaan pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding pemain industri lain,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Firma tersebut berpandangan premium tersebut disokong oleh pertumbuhan kapasiti katil yang pesat, keupayaan hospital baharu mencapai tahap pulangan modal lebih cepat serta pendedahan kepada rawatan tertiari dan kuaternari bernilai tinggi.

 

Selain itu, MBSB Research berkata pertumbuhan dalam segmen pelancongan perubatan turut menjadi antara faktor yang menyokong penilaian lebih tinggi terhadap saham tersebut.

 

Sunway Healthcare Holdings merupakan antara kumpulan hospital swasta yang berkembang pesat di Malaysia dengan model perniagaan bersepadu merangkumi keseluruhan kitaran penjagaan pesakit.

 

Kumpulan itu mengendalikan hospital utama di Sunway City Kuala Lumpur yang bertindak sebagai hab bagi kes rawatan kompleks, disokong rangkaian hospital tertiari di beberapa lokasi strategik.

 

MBSB Research berkata prestasi kewangan syarikat juga menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan hasil meningkat pada kadar tahunan terkumpul 31.9% dalam tempoh FY22 hingga FY24.

 

“Walaupun keuntungan terjejas sementara akibat kos permulaan hospital baharu, prestasi dijangka pulih dengan pertumbuhan pendapatan antara 15% hingga 16% bagi FY26 hingga FY27.

 

“Dalam jangka panjang, kumpulan menyasarkan peningkatan kapasiti katil secara agresif serta pengembangan ke kawasan baharu bagi menyokong pertumbuhan berterusan.

 

“Selain itu, fokus kepada kepakaran klinikal berintensiti tinggi seperti kanser dan onkologi dijangka terus memacu peningkatan hasil dari setiap pesakit,” katanya.

 

Secara keseluruhannya, penilaian MBSB Research mencerminkan pandangan bahawa Sunway Healthcare kekal sebagai syarikat dengan asas kukuh, namun harga sahamnya ketika ini dilihat telah mencerminkan sebahagian besar potensi pertumbuhan tersebut. - DagangNews.com