KUALA LUMPUR 31 Dis - MBSB mengumumkan pelantikan Dato' Seri Nur Julie Gwee Ariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu MIDF Amanah Investment Bank Berhad (MIDF IB) berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Beliau yang memiliki kepakaran dalam bidang perbankan pelaburan dengan pengalaman luas dalam pasaran hutang dan kewangan korporat, menyertai MIDF IB pada tahun 2012 sebagai Pengarah dalam Penasihat Korporat & Penstrukturan sebelum menjawat jawatan Ketua Pasaran Hutang serta Timbalan CEO sebelum dilantik sebagai CEO.
Di bawah kepimpinan beliau, MIDF IB muncul sebagai peneraju dalam perkhidmatan rundingan mengenai inisiatif dan transaksi pembiayaan lestari, serta memperoleh pengiktirafan meluas dalam industri dan pelbagai anugerah.
Sebelum itu, beliau memegang jawatan kanan di bank pelaburan dan pernah berkhidmat di firma sekuriti lain, di mana beliau memberi nasihat dalam pelbagai isu kewangan korporat.
Pengerusi MIDF IB, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, kepimpinan Nur Julie Gwee dan pengalaman luasnya dalam sektor kewangan akan mengangkat bank ke tahap yang lebih tinggi.
"Rekod prestasi beliau yang terbukti, telah memainkan peranan penting dalam kejayaan bank ini. Di bawah bimbingan beliau, MBSB berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang baharu," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Perbankan Borong Kumpulan MBSB, Kuldeep Singh pula menyifatkan, kepakaran Nur Julie Gwee dalam pasaran hutang, kewangan korporat dan rundingan akan mengukuhkan kedudukan bank dan membuka peluang pertumbuhan baharu.
"Di bawah kepimpinan beliau, kami berhasrat untuk memanfaatkan kerjasama di seluruh kumpulan MBSB bagi menyediakan rumusan berfokuskan pelanggan yang bersepadu.
"Dengan rangkaian perkhidmatan perbankan pelaburan yang kukuh termasuk tawaran hutang dan ekuiti, aktiviti perbendaharaan dan penyelidikan, MIDF IB berada dalam kedudukan yang baik untuk meningkatkan kehadiran pasaran," ujarnya. - DagangNews.com








