KUALA LUMPUR 4 Mac - MBM Resources Bhd mungkin menghadapi suku pertama yang lebih perlahan tahun ini berikutan jualan kereta yang menurun seperti yang ditunjukkan dalam statistik Persatuan Automotif Malaysia (MAA), baru-baru ini.
Jualan yang dijangka lebih lemah pada suku pertama 2025 itu disebabkan oleh jumlah hari bekerja yang lebih sedikit susulan cuti Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan.
Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research, MBM tetap berwaspada tetapi optimistik mengenai jualan Perodua untuk tahun kewangan 2025 (FY25) walaupun dengan sasaran dalaman yang menjangkakan penurunan 4% berbanding tahun sebelumnya (yoy).
Perodua juga mengalami kelewatan pengeluaran model kenderaan pada awal Januari 2025.
Sementara itu, Maybank IB Research menegaskan, cabaran masih berterusan untuk jenama lain MBM, dengan hanya Volvo yang merancang pelancaran model baharu pada tahun 2025.
"Sumbangan Jaecoo masih kecil, namun jenama ini menyasarkan untuk menggandakan jualannya pada 2025 daripada asas yang rendah selepas pelancaran model pertamanya pada Ogos 2024," katanya seperti laporan The Star.
Maybank IB Research berkata, MBM kini mengendalikan satu cawangan Jaecoo dan merancang untuk membuka cawangan 4S di Segambut dengan perbelanjaan modal RM7 juta hingga RM8 juta menjelang separuh kedua tahun kewangan 2025, dengan sasaran perkongsian pasaran sekitar 2% hingga 3%.
Secara keseluruhannya, perbelanjaan modal (capex) kumpulan untuk FY25 dianggarkan sebanyak RM60 juta.
Maybank IB Research meramalkan pembayaran dividen MBM untuk FY25 akan kekal pada tahap yang sama seperti FY24.
"Kami mengandaikan nisbah pembayaran dividen sebanyak 55% setiap saham untuk tahun kewangan 2025 (FY25).
"Prospek MBM disokong oleh prestasi Perodua yang terus kukuh, dibantu oleh kenaikan gaji kakitangan awam pada Disember 2024 serta peningkatan gaji minimum pada Februari 2025," katanya.
Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) pula berpendapat, penyelarasan subsidi bahan api pada separuh kedua tahun ini berpotensi meningkatkan jualan.
Jelasnya, pengguna juga mungkin menukar pilihan kereta mereka susulan langkah tersebut.
"Secara berasingan, penetapan harga model kenderaan elektrik baharu dan model perniagaan masih dalam kajian, dengan potensi model sewa untuk komponen baterinya," kata HLIB Research.
Jualan Volvo dan Volkswagen kekal lemah dan mungkin terjejas lagi dengan cukai Barangan Bernilai Tinggi yang bakal dilaksanakan serta rasionalisasi subsidi bahan api, manakala jualan komersial Hino dan Daihatsu terkesan dengan penawaran model yang terhad.
Namun begitu, ia berkata, Jaecoo terus menerima tempahan yang kuat, dengan 122 unit didaftarkan pada suku keempat tahun lalu.
HLIB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap MBM dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM7.40 sesaham, berdasarkan diskaun 10% daripada jumlah keseluruhan bahagiannya yang dianggarkan RM8.21. - DagangNews.com








