KUALA LUMPUR 24 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran untung bersih FY25 Malakoff Corporation Bhd sebanyak 23% bagi mencerminkan kadar pengeluaran yang lebih rendah.
Katanya, keputusan 4QFY24 adalah di bawah jangkaan kerana kos meningkat lebih tinggi daripada jangkaan berbanding ramalan.
"Kami menganggarkan margin bahan api tidak menunjukkan perubahan ketara pada FY24, oleh itu FY24 mewakili kadar pendapatan "bersih" pada masa hadapan.
"Walaupun pertumbuhan pendapatan marginal, hasil dividen 5% bagaimanapun menawarkan sokongan," katanya dalam atu nota kajian.
Terdahulu, Malakoff kembali mencatatkan keuntungan untuk suku keempat disebabkan ketiadaan sebarang kerugian daripada pelaburan kumpulan itu dalam pengeluar air dan kuasa bebas (IWPP) di Bahrain.
Keuntungan bersih bagi tiga bulan berakhir 4QFY24 berjumlah RM26.03 juta berbanding kerugian bersih RM357.12 juta setahun sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan 4QFY24 kumpulan menunjukkan aliran yang lebih rendah dari suku tahun ke suku tahun disebabkan kesan asas selepas mereka mengiktiraf penyelesaian tuntutan insurans untuk Tanjung Bin Energy pada 3QFY24.
Katanya, tiada dividen diisytiharkan pada suku tersebut, tetapi firma penyelidikan itu menjangkakan dividen sesaham akhir sebanyak 16sen selepas keputusan teraudit dikeluarkan.
"Kami mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) 83 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com








