Maybank IB sarankan pelabur utamakan saham dengan kekuatan komoditi, dividen tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB sarankan pelabur utamakan saham dengan kekuatan komoditi, dividen tinggi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 11 Mac – Sektor domestik Malaysia dijangka kekal berdaya tahan walaupun ketidaktentuan jangka pendek mungkin berterusan susulan ketegangan geopolitik di Tumur Tengah, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma pelaburan itu berkata dalam keadaan itu pelabur disaran memanfaatkan kekuatan komoditi serta mengambil pendekatan lebih defensif melalui saham berdividen tinggi.

 

Katanya, strategi dagangan yang sesuai ketika ini adalah memberi tumpuan kepada kaunter berkaitan komoditi seperti Petronas Chemicals Group Bhd (PCHEM) dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd (PMAH), di samping memposisikan portfolio dalam sektor defensif seperti perbankan dan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT).

 

"Bagi pilihan utama, tiga kaunter dikenal pasti sebagai “Top Top Picks” iaitu RHB Bank Bhd (RHBBANK), SD Guthrie Bhd (SDG) dan IHH Healthcare Bhd (IHH).

 

"Pada masa sama, sasaran Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (KLCI) bagi akhir tahun 2026 dikekalkan pada paras 1,780 mata," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Prospek pasaran

Menurut Maybank IB, secara keseluruhan, prospek pasaran saham Malaysia kekal positif dengan tumpuan diberikan kepada sektor berorientasikan domestik seperti perbankan, pengguna, pembinaan, penjagaan kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui.

 

KLCI sebelum ini mencatat penembusan menaik berbilang tahun melepasi paras yang kali terakhir dicapai pada 2019.

 

Namun, kedudukan indeks yang agak jauh daripada SMA 50 hari memberi isyarat kemungkinan berlaku pembetulan jangka pendek ke sekitar paras sokongan 1,685 mata.

 

Dalam senario asas, sasaran KLCI akhir tahun 2026 dikekalkan pada 1,780 mata, manakala senario terburuk diunjurkan sekitar 1,550 mata sekiranya ketegangan geopolitik menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan KDNK Malaysia.

 

Saham bank kekal defensif

Menurut Maybank IB, dalam musim keputusan kewangan suku keempat dan tahun kewangan 2025 (4QFY25), beberapa syarikat didapati meningkatkan kadar pembayaran dividen, dengan sektor perbankan menjadi antara penerima manfaat utama.

 

Selain bank, syarikat telekomunikasi jalur lebar tetap dan REIT turut mengekalkan pembayaran dividen yang stabil, dengan keseluruhan sektor ini menawarkan hasil dividen sekitar lima hingga enam peratus.

 

Sepanjang Januari dan Februari 2026, saham perbankan mencatatkan kenaikan kukuh yang membantu KLCI menembusi paras tertinggi beberapa tahun.

 

Namun, penurunan serentak kaunter perbankan baru-baru ini menyebabkan indeks itu susut dan menembusi paras sokongan utama 1,685 mata.

 

Dalam kalangan bank, RHB Bank Bhd dilihat paling berdaya tahan kerana masih didagangkan di atas purata pergerakan mudah (SMA) 50 hari berbanding pesaingnya.

 

Lonjakan harga komoditi

Harga minyak mentah dilaporkan meningkat hampir 46% dalam tempoh dua minggu, sekali gus mencatat kenaikan paling ketara sejak tempoh selepas pandemik COVID-19.

 

Walaupun indikator teknikal menunjukkan harga kini berada dalam zon terlebih beli, potensi kenaikan lanjut masih wujud sekiranya ketegangan geopolitik berlarutan.

 

Pada masa sama, harga aluminium turut menunjukkan trend menaik kukuh dengan dagangan berada jauh di atas purata pergerakan eksponen (EMA) 21 hari.

 

Bagaimanapun, secara sejarah premium geopolitik biasanya tidak bertahan lama sekiranya pengeluaran, infrastruktur eksport dan laluan perkapalan tidak terjejas.

 

Dalam tempoh konflik berterusan, situasi ini dijangka mewujudkan peluang dagangan bagi syarikat berkaitan komoditi yang berpotensi mendapat manfaat daripada harga jualan purata lebih tinggi serta margin yang lebih luas.

 

Selain itu, ketidakpastian pasaran juga boleh meningkatkan minat pelabur terhadap aset selamat seperti emas dan perak. - DagangNews.com