Maybank IB potong unjuran pendapatan 7-Eleven Malaysia sebanyak 19% pada FY25 kesan kos operasi tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB potong unjuran pendapatan 7-Eleven Malaysia sebanyak 19% pada FY25 kesan kos operasi tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd pada FY25 sebanyak 19% selepas mengambil kira perbelanjaan operasi kedai yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan kadar cukai berkesan kumpulan akan kembali normal kepada 34%.

 

Katanya, pendapatan berturutan kumpulan seharusnya lebih kukuh memandangkan peningkatan pendapatan boleh guna disokong peningkatan gaji penjawat awam dan kenaikan gaji minimum.

 

"Kos operasi kedai bagaimanapun akan terus meningkat kesan daripada kos buruh dan utiliti lebih tinggi pada FY25," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu mengalami kerugian bersih RM2.66 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24), berbanding keuntungan bersih RM206.34 juta setahun lalu.

 

Kerugian dicatatkan meskipun hasil meningkat 7.38% kepada RM745.49 juta daripada RM694.28 juta setahun lalu, didorong pembukaan 69 kedai baharu bersama-sama peningkatan jualan daripada musim cuti akhir tahun.

 

Bagi seluruh tahun kewangan 2024, 7-Eleven mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM41.61 juta, turun 84.1% daripada RM261.77 juta pada tahun kewangan 2023.

 

Sementara itu, hasil tahunan meningkat 5.1 peratus kepada RM2.93 bilion daripada RM2.78 bilion setahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil 4QFY24 menggambarkan momentum jualan lemah, susut 0.2% dari suku tahun ke suku tahun walaupun disokong musim perayaan serta cuti sekolah akhir tahun manakala margin keuntungan kasar juga berkurangan sebanyak 0.4ppts.

 

Sementara itu, pada asas tahun ke tahun, hasil lebih tinggi sebanyak 7% pada 4QFY24 disebabkan penambahan sumbangan kedai baharu dan jualan perayaan akhir tahun yang lebih tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran (TP) RM1.60 sesaham," katanya. - DagangNews.com