KUALA LUMPUR 24 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan MyNews Holdings Berhad sebanyak 24% pada FY25 akibat perbelanjaan pelanggan yang lemah dan kos operasi kedai yang lebih tinggi.
Katanya, strategi untuk meningkatkan produktiviti kedai dan memperkukuh sumbangan jualan makanan segar telah mula membuahkan hasil, namun perubahan dasar terkini seperti kenaikan gaji minimum dan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna serta berpotensi meningkatkan kos operasi dalam jangka masa terdekat.
"Kami percaya peningkatan margin untung kasar kumpulan mencerminkan kejayaannya dalam mempelbagaikan campuran produk secara beransur-ansur ke arah produk berasaskan makanan segar.
"Pendapatan MyNews meningkat sebanyak 5% didorong purata jualan/kedai yang lebih tinggi, serta sumbangan tambahan daripada pembukaan kedai baharu.
"Untung kasar meningkat sebanyak 10% hasil daripada penambahbaikan campuran produk melalui jualan makanan segar yang lebih tinggi dan pengurangan pembaziran makanan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, dari suku tahun ke suku tahun, pendapatan kumpulan susut 6% sejajar dengan penurunan jumlah jualan semasa bulan Ramadan.
Katanya, walaupun terdapat peningkatan dalam margin untung kasar sebanyak 2.3 mata peratusan, ia masih tidak mencukupi untuk mengimbangi peningkatan perbelanjaan operasi sebagai peratusan daripada pendapatan iaitu 36%.
"Keuntungan bersih untuk 2QFY25 turut mencatatkan penurunan lebih besar sebanyak 41% dari suku tahun ke suku tahun disebabkan kadar cukai efektif yang lebih tinggi iaitu 56% (berbanding 35% pada 1QFY25)," katanya.
Maybank IB mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) 55 sen sesaham. - DagangNews.com








