KUALA LUMPUR 4 Feb – Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan saranan ‘negatif’ terhadap sektor petrokimia Malaysia, berikutan prospek banyak lebihan bekalan bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Berdasarkan perkembangan tersebut, firma penyelidikan berkenaan masih meneruskan syor 'jual' pada saham PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCHEM) dan Lotte Chemical Titan Holdings Berhad (LCTITAN).
Tambahnya, faktor lebihan inventori dijangka menekan harga produk utama kerana kedua-dua kumpulan tersebut terlibat aktif dalam pengeluaran dan penjualan petrokimia di Malaysia serta pasaran luar negara.
"Menerusi sesi perkongsian pengetahuan produk anjuran PCHEM pada 27 Januari 2026, kami menegaskan gelombang penambahan kapasiti akan terus menekan kadar operasi polyethylene," kata Maybank IB.
Dalam nota analisisnya hari ini, ia berkata situasi tersebut dijangka berlaku selama tiga tahun akan datang, dengan pertumbuhan kapasiti bahan kimia dijangka mengatasi pertumbuhan permintaan.
Sebaliknya jelas firma penyelidikan itu, permintaan bagi monoethylene glycol (MEG) dijangka melebihi kapasiti tambahan pada 2027 hingga 2028, walaupun lebihan bekalan akan berlaku pada 2026.
Bagi segmen 'fertilisers dan methanol' pula, Maybank IB menjangkakan permintaan terhadap methanol diyakini terus mengatasi pertambahan kapasiti produk petrokimia tersebut dari 2026 hingga 2030.
"Kadar operasi diramal naik daripada 66% ke 70%, tetapi urea akan kekal tertekan kerana pertumbuhan permintaan yang lemah, menyebabkan kadar operasi menurun daripada 79% ke 77% dalam tempoh sama.
Firma itu menegaskan bahawa kitaran penurunan sektor petrokimia dijangka berterusan pada 2026, menjadikan harga saham PCHEM mungkin terus lemah jika syarikat melaporkan kerugian suku tahunan.
Sementara LCTITAN jelas Maybank IB, dijangka kekal rugi selagi kadar penyebaran produk PEnaphtha terus sempit, namun ia turut menekankan terdapat permintaan yang positif bagi methanol dan MEG.
Bagaimanapun katanya, ketidakseimbangan bekalan dan permintaan untuk majoriti produk petrokimia utama masih menjadi cabaran kritikal bagi sektor ini. - DagangNews.com








