Maxis perkukuh inisiatif kelestarian sempena Hari Alam Sekitar Sedunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxis perkukuh inisiatif kelestarian sempena Hari Alam Sekitar Sedunia

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 25 Jun – Maxis Bhd mengukuhkan komitmennya terhadap kelestarian sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia dengan melaksanakan inisiatif pengurangan pelepasan karbon dan memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui di seluruh negara.

 

Syarikat telekomunikasi itu berkata, matlamat utama inisiatif tersebut untuk menyepadukan manfaat alam sekitar melalui penaiktarafan infrastruktur rangkaian dan operasi, selain memudahkan akses pengguna kepada tenaga hijau.

 

Dengan asas pelanggan sebanyak 10.4 juta dan 780,000 rumah kediaman, Maxis mempunyai kelebihan strategik untuk memperluaskan rumusan Maxis Home Solar di seluruh Semenanjung Malaysia. 

 

Sementara itu, Pengarah Maxis Green Solutions merangkap Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Transformasi Maxis, Patrick Er berkata, pengurusan jejak alam sekitar dan kecekapan operasi adalah asas kepada kelestarian jangka panjang syarikat. 

 

"Dengan inisiatif solar untuk pelanggan dan operasi dalaman, kami menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara ke arah mencapai 70% kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050," katanya dalam satu kenyataan.

 

Selaras dengan piawaian ISO 14001, syarikat melaksanakan strategi pengurangan tahunan bagi meminimumkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau (GHG). 

 

Syarikat turut meningkatkan penggunaan tenaga solar, termasuk pemasangan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di tujuh Pusat Operasi Teknikal (TOC).

 

Pelaksanaan sistem solar luar grid di stesen pangkalan luar bandar di Semenanjung dan Malaysia Timur turut membantu mengurangkan kebergantungan kepada penjana diesel.

 

Maxis turut meningkatkan kecekapan tenaga di tapak stesen pangkalan dan TOC menerusi penggantian peralatan lama dengan sistem terkini. 

 

Teknologi Rangkaian Kendiri Berpusat (C-SON) yang digunakan membolehkan pengurusan pintar dan pengoptimuman rangkaian secara automatik.

 

Hasilnya, peningkatan tapak rangkaian hanya menyumbang kepada pertambahan penggunaan tenaga sebanyak 0.25%, sekali gus mengurangkan intensiti pelepasan.

 

Di samping itu, Maxis terus menaik taraf kemudahan pejabatnya dengan pemasangan lampu LED dan penambahbaikan kabel bagi mengurangkan pelepasan karbon. 

 

Usaha itu menyumbang kepada pengurangan pelepasan pejabat sebanyak 8% tahun ke tahun (YoY) pada 2024.- DagangNews.com