KUALA LUMPUR 28 Feb - Matrix Concepts Holdings Bhd menjalinkan kerjasama dengan Motormarin Sdn Bhd (X Park) untuk membangunkan sebuah taman tema yang menawarkan sukan ekstrem dan aktiviti lasak di Bandar Seri Impian, Kluang, Johor.
Ini merupakan kerjasama kedua mereka selepas pelancaran berjaya X Park di Bandar Sri Sendayan, Seremban.
Dengan pelaburan RM10 juta, taman tema itu akan menampilkan pelbagai sukan ekstrem dan aktiviti riadah termasuk trek go-kart, ATV, padang golf, gelanggang badminton, gelanggang pickleball, pendakian batu, memanah, kafe serta kedai peralatan sukan.
Dengan kedudukan strategiknya dan kemudahan yang berkembang pesat, Kluang bakal muncul sebagai hab perniagaan, gaya hidup dan pelancongan.

Pengenalan X Park Bandar Seri Impian dijangka dapat meningkatkan daya tarikan bandar itu dengan ketara, menarik pelancong dan merangsang aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Bahagian Pembangunan Hartanah Matrix Concepts, Chai Keng Wai berkata, kerjasama dengan X Park selaras dengan visi syarikat untuk mewujudkan persekitaran hidup yang menyeluruh dan dinamik di Bandar Seri Impian.
"Taman tema ini akan menjadi tarikan baharu di Kluang. Dengan pelaburan RM10 juta oleh Matrix Concepts, kami komited untuk memperkayakan komuniti dengan ruang yang bertenaga dan menarik," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan X Park Malaysia, Rocky Siow pula berkata, taman tema tersebut akan menyediakan ruang dinamik di mana keluarga dan individu yang gemarkan aktiviti lasak berkumpul untuk mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan.
"Kerjasama ini selaras dengan visi Bandar Seri Impian untuk membangunkan komuniti yang berorientasikan keluarga dan hidup yang bertenaga.
"Selain menyediakan hiburan yang mendebarkan, X Park akan mempertingkatkan gaya hidup dan tawaran riadah di bandar ini," jelasnya. - DagangNews.com








