KUALA LUMPUR 14 Okt - Matrix Concepts Holdings Berhad berpotensi mencatatkan pertumbuhan stabil didorong langkah kepelbagaian dalam projek bernilai tinggi di Negeri Sembilan selain pelancaran projek perumahan strategik di Lembah Klang.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, langkah itu akan meluaskan keterlihatan pendapatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap segmen utama hartanah bertanah.
Katanya, kumpulan itu menunjukkan momentum jualan yang kukuh bagi segmen industri dalam pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) dengan jumlah jualan RM450 juta berjaya diperoleh setakat ini.
"Bagi projek Bandar Sri Sendayan, permintaan asas kekal kukuh walaupun jualan mencatat sedikit penurunan sementara disebabkan kadar kelulusan pinjaman yang lebih perlahan susulan garis panduan perbankan yang lebih ketat.
"Pengambilalihan Horizon baru-baru ini memperluaskan pendedahan Matrix Concepts ke Banting dan Sepang," kata HLIB dalam satu nota kajian.
Sementara itu, di Australia, HLIB memaklumkan, Matrix Concepts baru sahaja menyiapkan projek M333 St Kilda dan sedang merancang untuk menjual baki unit secara en-bloc.
Dengan penyempurnaan projek tersebut, kumpulan dijangka mencatatkan keuntungan kecil kira-kira A$3 juta (RM8.26 juta) pada suku kedua hingga ketiga tahun kewangan 2026 (FY26).
Bagaimanapun, HLIB berkata, aktiviti penyewaan dan jualan di Menara Syariah, Indonesia, masih berdepan cabaran selain diburukkan ketidaktentuan politik baru-baru ini.
Walaupun keadaan kembali stabil sejak September lalu, firma penyelidikan itu percaya ketegangan tersebut menjejaskan sentimen perniagaan jangka pendek, dengan banyak syarikat dijangka menangguhkan rancangan pengembangan atau perpindahan dalam masa terdekat.
"Pemulihan keyakinan perniagaan dan momentum penyewaan yang lebih bermakna dijangka mengambil masa sekitar enam bulan atau lebih lama," katanya.
Selain itu, HLIB berkata segmen pendidikan Matrix Concepts mula menunjukkan peningkatan hasil melalui kerjasama dengan Ray Education Group, dengan kumpulan mencatat keuntungan operasi pertama sejak penubuhannya.
"Secara keseluruhan, Matrix Concepts sedang melaksanakan strategi kepelbagaian yang jelas merangkumi projek industri dan perumahan di Lembah Klang, menyokong pertumbuhan mampan kumpulan,” kata HLIB.
“Kami mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan "beli" dengan harga sasaran RM1.75 sesaham,” katanya.- DagangNews.com








