KUALA LUMPUR 10 Feb – Malaysia Aviation Group (MAG) akan meningkatkan kapasiti penerbangan domestik sempena musim perayaan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri 2026, dengan menyediakan lebih daripada 2,700 penerbangan bagi memudahkan rakyat Malaysia pulang ke kampung.
Langkah ini bertujuan memberi keselesaan tambahan dan fleksibiliti bagi penumpang sepanjang musim puncak perayaan tersebut.
Malaysia Airlines, syarikat penerbangan nasional di bawah MAG, akan mengendalikan sehingga 1,557 penerbangan, manakala Firefly akan menyediakan sehingga 1,176 penerbangan menghubungkan destinasi utama di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.
MAG dalam satu kenyataan memaklumkan penambahan jadual itu dibuat untuk memenuhi permintaan tinggi semasa musim perayaan.
“Bagi laluan yang mencatatkan trafik tinggi, Malaysia Airlines akan menaik taraf pesawat untuk memastikan kapasitinya mencukupi. Laluan yang terlibat termasuk Alor Setar, Kota Bharu, Terengganu, Miri, Sibu, Kuching, Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.
“Penerbangan malam juga akan diperkenalkan ke Kota Kinabalu, Sandakan, dan Kuching bagi memaksimumkan waktu perjalanan penumpang,” kata MAG dalam kenyataan tersebut.
Dalam usaha menarik lebih ramai penumpang, kedua-dua syarikat menawarkan tambang tetap bagi laluan utama ke Malaysia Timur.
Malaysia Airlines menetapkan tambang bermula RM339 ke Sarawak dan RM399 ke Sabah, manakala Firefly menawarkan tambang dari RM298 ke Sarawak dan RM348 ke Sabah.
Tambang ini boleh dibeli sehingga 29 Mac 2026 untuk perjalanan antara 17 hingga 29 Mac 2026 melalui laman web dan aplikasi mudah alih rasmi masing-masing.
MAG berkata tambang maksimum bagi menyokong inisiatif kerajaan juga telah ditetapkan dengan Malaysia Airlines menawarkan tambang maksimum RM569 manakala Firefly menetapkan RM548 bagi penerbangan antara 17 hingga 20 Mac 2026.
“Tambang ini tidak termasuk cukai dan fi kerajaan. Langkah ini selaras dengan komitmen syarikat untuk menghubungkan rakyat Malaysia dengan destinasi utama di negara ini, sambil menyokong program perjalanan perayaan kerajaan.
“Pengumuman ini juga bertujuan memastikan pengalaman perjalanan yang lancar dan bermakna bagi penumpang sepanjang musim perayaan,” kata MAG.- DagangNews.com








