KUALA LUMPUR 20 Feb - Marine & General Bhd (M&G) menerusi M&G Tankers Sdn Bhd menjual kapal tangka minyaknya, JM Sutera 6 kepada firma Thailand, Lion Great Energy Co Ltd berharga RM31.54 juta bagi melupuskan kapal lamanya dan mengurangkan purata umur armadanya.
Kumpulan itu berkata, pelupusan itu selaras dengan strategi pengoptimuman armadanya dan seterusnya membantu mengurangkan kos penyelenggaraan, yang pada asasnya meningkat apabila usia kapal semakin meningkat.
Katanya, JM Sutera 6 digunakan sebagai jaminan tambahan untuk penstrukturan semula hutang Jasa Merin (M) Sdn Bhd. Menurut terma penstrukturan semula hutang, sebarang hasil daripada pelupusan kapal itu perlu digunakan bagi mengurangkan pinjaman JMM.
"Pelupusan tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal terbitan dan berbayar serta pegangan saham pemegang saham besar kumpulan.
"Keuntungan daripada pelupusan kapal berjumlah kira-kira RM4.74 juta," katanya dalam atu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kumpulan itu berkata, penjualan itu akan mengurangkan purata umur keseluruhan armada kapal tangka bahagian hiliran kepada 11.1 tahun daripada 11.8 tahun sebelum penjualan.
Katanya, penjualan itu juga mengurangkan saiz armada bahagian hiliran kepada empat kapal tangki kimia.
Melangkah ke hadapan, bahagan hiliran akan terus menilai pilihan bagi menyegarkan armada kapal tangkinya dengan kapal tangki yang memenuhi keperluan penyewa dengan mengambil kira pertimbangan alam sekitar baharu.- DagangNews.com








