KUALA LUMPUR 11 April – Sebanyak 281 pengguna gas dilaporkan terjejas susulan gangguan bekalan yang dijangka berlanjutan sehingga 20 April 2025, menurut maklumat yang diterima Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).
Insiden malang tersebut bukan sahaja menyebabkan kehilangan harta benda, malah turut menjejaskan bekalan gas ke beberapa kawasan termasuk kemudahan industri.
MARGMA memahami, kerja-kerja pemulihan perlu dilaksanakan secara berhati-hati dengan menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan dan penjagaan alam sekitar.
Namun begitu, gangguan ini memberi kesan terus kepada operasi beberapa ahli MARGMA, yang membangkitkan kebimbangan memandangkan sarung tangan getah merupakan komponen penting dalam sektor kesihatan global dan perkhidmatan utama lain.
MARGMA dimaklumkan yang Suruhanjaya Tenaga (ST) memberi keutamaan bekalan gas kepada sektor penting seperti hospital, makanan, dan farmaseutikal.
MARGMA turut memohon agar kilang sarung tangan getah yang terjejas diberikan keutamaan yang sama dalam usaha pemulihan.
"Situasi ini perlu ditangani segera bagi meminimumkan gangguan pengeluaran sarung tangan getah dan produk perubatan penting untuk pasaran kesihatan global termasuk hospital, klinik, dan pelbagai industri kritikal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MARGMA turut menggesa pihak berkuasa dan penyedia perkhidmatan berkaitan supaya mempercepatkan penyediaan bekalan gas alternatif dan mempertimbangkan penawaran pada kos yang berpatutan sepanjang tempoh gangguan itu.
Menurut MARGMA, amat penting bagi memastikan operasi ahli persatuan dapat diteruskan tanpa menanggung beban kewangan tambahan.
MARGMA turut menghargai tindakan proaktif pasukan petugas khas yang telah ditubuhkan dan memantau situasi itu secara harian.
Persatuan itu menyatakan keyakinan pihak berkuasa akan mengambil langkah segera untuk mengurangkan kesan terhadap operasi kilang sarung tangan dan memastikan aliran bekalan produk ini ke pasaran antarabangsa tidak terputus.
MARGMA menegaskan komitmen pihaknya untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dan pemegang taruh berkaitan dalam usaha menyelesaikan isu itu dengan secepat mungkin.








