KUALA LUMPUR 1 April — Lonjakan harga diesel dan bahan binaan susulan konflik di Timur Tengah kini menekan teruk margin kontraktor tempatan, dengan risiko penyusutan keuntungan yang semakin ketara.
Menurut RHB Research, situasi negatif itu dikhuatiri memberikan impak besar jika harga minyak global kekal tinggi dalam tempoh panjang, dan ia mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan.
Firma penyelidikan berkenaan namun memberi amaran isu kenaikan kos bahan seperti simen dan konkrit siap bancuh (RMC) boleh terus naik disebabkan masalah melibatkan caj penghantaran yang tinggi.
"Harga RMC di Selangor melonjak 23% tahun ke tahun (YoY) kepada RM372 setiap meter padu, dan harga simen Ordinary Portland meningkat kepada RM24.42 bagi setiap beg 50 kilogram," jelasnya dalam nota.
Kenaikan ini kata RHB Research, sudah berlaku lebih awal sebelum konflik geopolitik di rantau itu tercetus, didorong sekatan had muatan kenderaan berat, dan kini berpotensi menokok sekali lagi.
Keadaan tersebut berikutan lonjakan harga diesel, dan ia menganggarkan setiap kenaikan 10% ke atas bahan berkenaan boleh mengurangkan margin bersih kontraktor sekitar 0.5 hingga 0.7 mata peratusan.

Setakat ini kata firma penyelidikan itu, harga diesel runcit meningkat kira-kira 88% YoY, manakala diesel industri juga melonjak sekitar 145%, sekali gus memberi tekanan langsung kepada kos projek.
"Dalam senario harga minyak mentah Brent kekal tinggi untuk tempoh enam bulan atau lebih, margin kontraktor pula dijangka boleh menyusut sehingga 3 hingga 4 mata peratusan," jelas RHB Research.
Bagaimanapun ia melihat beberapa langkah mitigasi boleh diambil oleh pemain industri, termasuk penggunaan optimum keluli berbanding konkrit, menyimpan stok dan merunding kontrak berasaskan kos.
Tambahnya, kontraktor yang mempunyai pendedahan lebih tinggi kepada kontrak jenis 'cost-plus' bagi projek baharu berada pada kedudukan lebih baik berbanding penerimaan kontrak lump sum yang tetap.
Sehubungan itu berdasarkan situasi semasa, RHB Research mengekalkan pilihan utama dalam sektor pembinaan termasuk Gamuda Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan Binastra Corporation Berhad.
"Risiko utama kekal pada kenaikan harga bahan binaan tidak terkawal, dan membawa kepada lebihan kos projek serta menjejaskan keuntungan kontraktor dalam tempoh terdekat," katanya. - DagangNews.com








