KUALA LUMPUR 21 Feb - Margin keuntungan Well Chip Group Bhd diyakini terus berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang didorong kenaikan harga emas dan penambahan lebih banyak cawangan pajak gadai, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Harga emas yang lebih tinggi meningkatkan permintaan untuk pinjaman pajak gadai apabila nilai cagaran meningkat dengan firma penyelidikan itu memulakan liputan terhadap Well Chip dengan harga sasaran (TP) RM1.39 sesaham.
Katanya, jika peminjam ingkar, Well Chip akan dapat menjual gadaian emas yang belum ditebus pada harga dan margin yang lebih tinggi.
"Kami percaya persekitaran harga emas yang tinggi dijangka kekal mampan disebabkan aktiviti pembelian bank pusat, di sebalik kegawatan geopolitik dan kebimbangan inflasi," katanya dalam satu nota kajian.
Liputan itu merupakan yang pertama sejak kumpulan itu disenaraikan di Bursa Malaysia pada Julai 2024.
Walaupun kedudukan itu kekal kukuh di Bursa Malaysia tahun ini, saham itu merosot sedikit di bawah harga tawaran awam permulaan (IPO) pada RM1.15 sesaham.
Firma penyelidikan itu berkata, melaporkan penurunan keuntungan bersih dari suku tahun ke suku tahun sebanyak 39% bagi tempoh berakhir 30 September 2024.
Bagaimanapun, katanya, syarikat itu dijangka memperoleh keuntungan bersih RM48 juta pada 2024 dan RM54 juta pada 2025.
"Margin bersih akan berkembang kepada 23.1% tahun ini daripada 21.3% tahun lepas, kerana syarikat itu memberi tumpuan kepada pajak gadai yang memperoleh keuntungan lebih tinggi daripada perniagaan runcit dan perdagangannya.
"Sekiranya Well Chip menambah 10 cawangan baharu seperti yang dijangkakan, syarikat itu akan mempunyai 33 kedai pajak gadai menjelang akhir 2027, dan ia akan membantu mengekalkan penguasaan pasarannya mendahului rakan setara Evergreen Max Cash Capital Bhd dan Pappajack Bhd," katanya. - DagangNews.com








