Malaysia tuan rumah Forum Kemahiran Global 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia tuan rumah Forum Kemahiran Global 2025

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Okt - Malaysia akan menjadi tuan rumah Forum Kemahiran Global (Global Skills Forum atau GSF) 2025 yang bakal berlangsung pada 22 hingga 23 Oktober ini di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.

 

Acara berprestij itu dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE), serta disokong oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan GSF 2025 bersama Ketua Pengarah ILO, Gilbert F. Houngbo dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

 

Forum berkenaan akan menumpukan kepada peranan majikan dan industri dalam membentuk hala tuju pembangunan tenaga kerja, dengan penekanan terhadap bagaimana sektor swasta dapat memacu latihan kemahiran, memperkenalkan inovasi berskala besar serta menyokong pertumbuhan ekonomi mampan.

 

Penganjuran GSF 2025 juga merupakan sebahagian daripada inisiatif ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025, di bawah kepengerusian Malaysia bagi ASEAN tahun depan.

 

Inisiatif ini diketuai oleh KESUMA melalui HRD Corp sebagai platform serantau untuk merapatkan jurang kemahiran, menggalakkan mobiliti bakat dan memperkukuh kerjasama awam-swasta di seluruh ASEAN.

 

Bertemakan “Peranan Sektor Swasta dalam Pembangunan Kemahiran: Mendorong Inovasi dan Impak”, forum dua hari itu akan menghimpunkan pemimpin kerajaan, menteri, penggubal dasar, majikan, agensi tenaga kerja, penyedia latihan, ahli akademik dan rakan pembangunan antarabangsa.

 

 

Global Skills Forum

 

 

Perbincangan dijangka menumpukan kepada isu strategik seperti transformasi digital, ekonomi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan industri baharu yang membentuk masa depan pekerjaan.

 

Meneruskan kejayaan penganjuran di Geneva pada 2024, GSF 2025 di Kuala Lumpur dijangka menjadi penanda aras penting bagi ASEAN dan komuniti global dalam mentakrifkan semula peranan pembangunan kemahiran untuk memacu daya saing, ketahanan dan kemakmuran inklusif.

 

Sila layari https://aseanyearofskills.org/ untuk maklumat lanjut mengenai ASEAN Year of Skills 2025. - DagangNews.com