KUALA LUMPUR 18 Ogos - Malaysia Smelting Corporation Berhad (MSC) terpaksa menggantung sementara operasi perlombongan timahnya di Perak selepas hujan sangat lebat merosakkan kemudahan saliran dan menyebabkan kolam takungan tidak mampu menampung jumlah air yang tinggi.
MSC dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikat milik 80 peratusnya iaitu Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (RHT), menerima arahan daripada Jabatan Mineral dan Geosains Perak (JMG Perak) untuk menggantung sementara operasi perlombongan berkuat kuasa 12 Ogos 2026.
Arahan itu dikeluarkan susulan pemeriksaan tapak oleh JMG Perak selepas kejadian hujan sangat lebat pada 3 Ogos lalu apabila kira-kira 60 milimeter (mm) hujan direkodkan dalam tempoh sejam.
MSC berkata, hujan kira-kira 60mm dalam tempoh sejam itu melebihi paras maksimum 50mm yang dijadikan asas reka bentuk sistem saliran dan kolam takungan sedia ada RHT, menyebabkan beberapa kemudahan saliran rosak dan kolam takungan tidak dapat menampung jumlah air berkenaan.
Kerja pembaikan dan naik taraf dimulakan
Dalam keadaan operasi biasa, RHT menggunakan sistem pengurusan air kitaran tertutup tanpa pelepasan rutin air proses daripada operasi perlombongannya ke sungai berhampiran, menurut MSC.
Air proses ditakung dan dikitar semula dalam takungan lombong, manakala kualiti air diurus menerusi penggunaan kapur bagi meneutralkan keasidan serta pensampelan berkala di lokasi pemantauan yang ditetapkan dalam kawasan lombong.
RHT telah memulakan kerja pembaikan dan naik taraf serta sedang berunding dengan JMG Perak mengenai pelan tindakan pemulihan yang menyeluruh.
Penggantungan sementara itu akan kekal berkuat kuasa sehingga arahan selanjutnya daripada JMG Perak.
MSC berkata, kesan kewangan terhadap kumpulan belum dapat ditentukan pada masa ini kerana tempoh penggantungan bergantung kepada kelulusan JMG Perak.
Operasi peleburan timah kumpulan yang merupakan segmen perniagaan teras berasingan tidak terjejas oleh arahan tersebut dan terus beroperasi seperti biasa. - DagangNews.com








