KUALA LUMPUR 5 Feb - Malaysia perlu memperkukuh dan memaksimumkan pengurusan sumber emasnya dengan mewujudkan Kerangka Pengurusan Industri Emas Negara yang holistik dan menyeluruh.
Merujuk kepada data dari World Bureau of Metal Statistics - London Stock Exchange Group, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, Malaysia hanya menyumbang 0.06% daripada pengeluaran emas global sebanyak 3,000 tan metrik, dengan pengeluaran tahunan antara 1.8 hingga 4.6 tan.
Namun, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen Kewangan dan Ekonomi berkata, pengurusan sumber emas masih tidak disatukan kerana berada di bawah bidang kuasa negeri melalui Enakmen Mineral Negeri masing-masing.
"Apakah mekanisme penyelarasan antara kerajaan Persekutuan, negeri dan syarikat konsesi untuk memastikan royalti yang biasanya lima hingga 10 peratus serta hasil cukai mencerminkan nilai sebenar emas yang dieksport?
"Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendedahkan ketidakseragaman kadar royalti antara negeri menyebabkan potensi kebocoran hasil. Adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menyelaraskan standard kontrak perlombongan secara nasional," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam seperti laporan The Edge.
Merujuk kepada kajian 2021 oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Mohd Shahar berkata, mineral logam negara termasuk emas, dianggarkan bernilai RM1.03 trilion.
"Mineral bernilai tinggi tertumpu di empat jalur emas utama iaitu Jalur Tengah (Pahang dan Terengganu), Jalur Timur (Kelantan), Jalur Borneo (Sabah dan Sarawak) dan Jalur Bentong-Raub," jelasnya.
Beliau menambah, penggunaan teknologi perlombongan moden seperti pelarutan bio dan peninjauan satelit, dapat meningkatkan potensi pengeluaran emas.
"Saya percaya kita perlu meneroka Program Perkongsian Pensijilan Emas Antarabangsa.
"Pada tahun 2020, Argentina melancarkan program Pensijilan Eksport Emasnya dengan kerjasama London Bullion Market Association (LBMA), yang meningkatkan nilai eksport emasnya sebanyak 40% dalam tempoh dua tahun, menurut Laporan Bank Pusat Argentina untuk 2022," ujarnya. - DagangNews.com








