Malaysia perkenal standard baharu industri emas, rangka kerja penuh dijangka siap hujung tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia perkenal standard baharu industri emas, rangka kerja penuh dijangka siap hujung tahun ini

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Group, Datuk Seri Louis Ng (tengah) di bengkel industri yang berlangsung baru-baru ini
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei – Persatuan Emas Malaysia (MGA) sedang membangunkan satu rangka kerja baharu untuk industri emas negara yang dikenali sebagai Prinsip Industri Emas Malaysia (MGIP) dengan sasaran untuk memuktamadkan keseluruhan rangka kerja serta Kod Tatakelakuannya menjelang suku keempat tahun 2026.

 

Inisiatif ini bertujuan mewujudkan satu standard nasional yang seragam bagi seluruh ekosistem industri emas di Malaysia, merangkumi pelbagai segmen seperti penapisan, perdagangan, pembuatan dan peruncitan.

 

Apabila dilaksanakan kelak, ia akan meningkatkan tahap ketelusan, kredibiliti serta keyakinan pasaran terhadap industri emas negara di peringkat antarabangsa.

 

 

 

 

 

 

MGIP merupakan rangka kerja sukarela yang diterajui industri bagi menetapkan panduan amalan terbaik dalam perdagangan dan pengurusan emas yang memastikan semua pemain industri beroperasi mengikut prinsip yang lebih bertanggungjawab, beretika dan selaras dengan standard global.

 

Inisiatif ini mula diperkenalkan secara rasmi semasa Persidangan Emas Malaysia Ke-3 tahun 2026 sebelum diteruskan dengan penganjuran bengkel industri selama dua hari di Menara Public Gold pada 19 dan 20 Mei 2026.

 

Bengkel tersebut dianjurkan oleh MGA bersama Majlis Emas Dunia (WGC) sebagai rakan pengerusi bersama, dengan sokongan SIRIM Academy sebagai rakan teknikal dalam pembangunan standard dan kerangka kerja industri.

 

Lebih 30 wakil industri emas daripada pelbagai segmen rantaian bekalan termasuk huluan dan hiliran telah mengambil bahagian dalam bengkel berkenaan bagi membincangkan serta memperhalusi kandungan awal Kod Tatakelakuan MGIP sebelum ia dibawa ke fasa seterusnya.

 

Turut hadir, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Group, Datuk Seri Louis Ng.

 

Menurut MGA, MGIP kini berada pada fasa perbincangan draf iaitu peringkat di mana kandungan awal kod tersebut diteliti dan diperincikan sebelum memasuki fasa ulasan awam dan konsultasi pihak berkepentingan.

 

t

 

Dalam fasa seterusnya, beberapa sesi teknikal tambahan serta libat urus bersama pihak industri dan pihak berkuasa akan diteruskan bagi memastikan rangka kerja yang dibangunkan benar-benar praktikal, boleh dilaksanakan serta selaras dengan realiti operasi industri emas semasa.

 

Antara komponen utama dalam rangka kerja ini ialah Standard Emas Malaysia (MGS) yang akan menjadi penanda aras tertinggi bagi kilang penapisan emas di Malaysia, selaras dengan standard antarabangsa Good Delivery standard serta amalan terbaik global dalam industri logam berharga.

 

MGS turut berfungsi sebagai rujukan utama bagi perdagangan emas institusi sama ada di peringkat domestik mahupun rentas sempadan, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab emas yang lebih berdaya saing di peringkat serantau dan global.

 

Dalam masa yang sama, aspek pematuhan Syariah turut diberi penekanan melalui Kod Emas Patuh Syariah yang akan diterajui Lembaga Penasihat Syariah MGA bersama pakar Syariah tempatan dan antarabangsa dalam industri logam berharga.

 

Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah MGA, Datuk Profesor Dr Mohamad Akram Laldin berkata, pembangunan standard ini penting kerana ketelusan, pematuhan Syariah dan amalan pasaran yang bertanggungjawab semakin menjadi keperluan utama dalam perdagangan emas global yang semakin berkembang.

 

 

 

 

 

 

 

Sementara itu, Ketua Asia Pasifik WGC, Fan Shaokai berkata, pembangunan standard industri yang komprehensif seperti ini mampu mengukuhkan keyakinan pasaran, meningkatkan tadbir urus serta memastikan industri emas Malaysia kekal relevan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

 

MGA menjelaskan selepas fasa ini, beberapa siri perbincangan teknikal dan sesi libat urus lanjut akan dijalankan sebelum rangka kerja lengkap itu dimuktamadkan dan diterbitkan di laman web rasmi MGIP untuk rujukan umum. - DagangNews.com