Malaysia mungkin mulakan pembangunan Tenaga Nuklear guna Unit Kuasa Terapung — Rosatom | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia mungkin mulakan pembangunan Tenaga Nuklear guna Unit Kuasa Terapung — Rosatom

Pengarah Projek Rosatom Energy Projects, Alexander Tsibulya - Gambar BERNAMA
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 21 Okt – Malaysia mungkin memulakan pembangunan tenaga nuklearnya dengan menggunakan unit kuasa terapung (Floating Power Units atau FPU) sebagai langkah awal ke arah mewujudkan kapasiti tenaga nuklear menjelang tahun 2031, kata Pengarah Projek Rosatom Energy Projects, Alexander Tsibulya.

 

Beliau berkata, unit sebegini yang boleh ditempatkan di sepanjang pesisir pantai Semenanjung dan Malaysia Timur merupakan pilihan yang paling praktikal dan tepat pada masanya untuk negara ini, ketika Malaysia berusaha memperkenalkan tenaga nuklear dalam tempoh satu dekad akan datang.

 

“Kerajaan Malaysia telah memutuskan menjelang tahun 2031, sekurang-kurangnya sebahagian kapasiti kecil akan wujud di sini. Kapasiti tenaga nuklear akan berada di Malaysia,” kata Tsibulya semasa sesi soal jawab pada Khamis.

 

Beliau merupakan seorang daripada ahli panel dalam sesi bertajuk “Nuclear Power for Low-Carbon Development: from Floating Solutions to Large-Scale Domestic Nuclear Industry” di Forum Perniagaan Tenaga Asean yang diadakan di sini pada Khamis.

 

Malaysia menyasarkan untuk menjadikan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran penjanaan tenaga negara menjelang 2031. Program pembangunan tenaga nuklear ini akan dilaksanakan dengan MyPower Corp sebagai badan penyelaras untuk memantau tadbir urusnya.

 

Langkah ini selaras dengan peruntukan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan pada Julai tahun ini.


 

bas
FPU atau loji tenaga nuklear atas kapal yang teknologinya dimiliki oleh Rosatom

 

rosatom

 


Tsibulya berkata, FPU amat sesuai untuk negara pesisir seperti Malaysia kerana ia boleh ditempatkan di luar pantai atau berhampiran infrastruktur pelabuhan sedia ada, menawarkan rumusan yang fleksibel dan selamat untuk kepelbagaian tenaga.

 

Beliau menambah penggunaan FPU juga akan membantu Malaysia menangani perbezaan permintaan tenaga antara rantau, khususnya antara Semenanjung dan Malaysia Timur.

 

“Di bahagian barat negara, iaitu di Semenanjung, kapasiti nuklear yang besar — sekurang-kurangnya dua unit berkapasiti 1,200 megawatt — boleh dimuatkan dengan mudah ke dalam sistem tenaga kerana pembangunan yang pesat,” katanya.

 

Beliau menjelaskan permintaan tenaga di Semenanjung Malaysia dijangka meningkat disebabkan perindustrian pesat dan pertumbuhan pusat data, yang menjadi pendorong utama kepada peningkatan penggunaan elektrik.

 

Sementara itu, di Malaysia Timur, di mana sistem grid lebih kecil dan kebanyakan kawasan terletak berhampiran laut, FPUs dianggap sebagai pilihan yang lebih mudah dan sesuai, walaupun kemudahan darat berskala kecil juga boleh dibangunkan jika perlu.

 

Dalam pada itu, Pusat Tenaga Asean dan Rosatom menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mempromosikan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam penggunaan tenaga nuklear secara aman, termasuk meningkatkan kesedaran awam mengenai teknologi nuklear dan aplikasinya, serta pembangunan sumber saintifik dan manusia.

 

“Memorandum ini juga merangkumi penambahbaikan infrastruktur serta pelaksanaan penyelidikan bagi menilai sumbangan tenaga nuklear terhadap campuran tenaga masa depan negara-negara Asean,” kata Rosatom dalam satu kenyataan pada Khamis.

 

Perjanjian ini menetapkan komitmen kedua-dua pihak untuk mengukuhkan kerjasama dalam industri tenaga nuklear di Asia Tenggara.

 

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga Asean, Datuk Razib Dawood, dan Ketua Pengarah Rangkaian Antarabangsa Rosatom, Vadim Titov. - DagangNews.com