KUALA LUMPUR 26 Jun – Malaysia mempunyai daya tahan untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran global termasuk aliran keluar modal susulan kenaikan kadar faedah global, kata Profesor Industri Universiti dari Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Bursa Malaysia Bhd berkata, Malaysia mempunyai simpanan antarabangsa yang mencukupi untuk menampung keperluan import serta bayaran balik hutang luar jangka pendek bagi tempoh beberapa bulan.
"Pelaburan ini bukan sekadar melibatkan kemasukan modal asing ke Malaysia, sebaliknya merangkumi pelaburan oleh pelabur tempatan ke luar negara, yang memberi fleksibiliti kepada negara untuk menghadapi cabaran semasa," katanya dalam satu kenyataan semasa sidang Islamic Finance Future Leaders Bootcamp 2025.
Beliau turut menjelaskan pasaran saham telah mencatatkan aliran masuk dan keluar dana kitaran dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
"Pergerakan pasaran kewangan seperti ini adalah lumrah dan berlaku dari semasa ke semasa. Kita pernah menyaksikan aliran keluar yang ketara, diikuti aliran masuk pada Mei, namun trend tersebut berubah semula pada Jun," tambah Abdul Wahid.
Peralihan secara berperingkat daripada kebergantungan kepada sumber asas sejak beberapa tahun lalu telah mengukuhkan asas ekonomi negara dan meningkatkan keupayaannya menghadapi tekanan luaran.
"Struktur ekonomi kini lebih pelbagai, dengan pertumbuhan disokong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.
"Dengan struktur ekonomi yang pelbagai serta komitmen dalam pengurusan kewangan negara, termasuk langkah mengurangkan defisit belanjawan, kita berada pada landasan kukuh untuk terus mempertingkat ketahanan ekonomi," ujar beliau.
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 5.1% pada tahun lalu tanpa tekanan luaran semasa, dan negara dijangka mampu mencapai kadar pertumbuhan antara 4.5% hingga 5.0% bagi tahun 2025.
Namun, pertumbuhan ekonomi dijangka berada di paras bawah julat 4.0% hingga 5.0%.- DagangNews.com








