Malaysia masih pilihan utama pelaburan global strategi China+1, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia masih pilihan utama pelaburan global strategi China+1, kata penganalisis

KUALA LUMPUR 15 Mei - Malaysia terus menjadi pilihan utama pelaburan global dalam strategi China+1 walaupun Amerika Syarikat (AS) dan China kini mencapai persetujuan sementara dalam isu perdagangan antara dua negara. 

 

Persetujuan sementara selama 90 hari itu menimbulkan persoalan sama ada strategi memindahkan operasi dari China ke negara lain masih diperlukan.

 

Namun, penganalisis percaya, syarikat-syarikat antarabangsa masih belum bersedia untuk bergantung sepenuhnya kepada China semula.

 

Penganalisis iFAST Capital, Kevin Khaw Khai Sheng berkata, sukar untuk AS dan China mencapai persetujuan jangka panjang.

 

"Walaupun ada kelonggaran selama 90 hari, kami menjangka tarif akan kekal tinggi untuk beberapa tahun. Sukar untuk kembali ke kadar tarif sebelum perang perdagangan, jadi strategi China+1 masih penting.

 

"Situasi seperti ini pernah berlaku pada 2018 di bawah pentadbiran terdahulu Presiden Donald Trump, tetapi rundingan gagal selepas setahun. Kedua-dua negara mahu kekal dominan dan tempoh 90 hari terlalu singkat untuk mencapai persetujuan yang kukuh," katanya kepada Starbiz.

 

AS dan China Isnin lalu bersetuju menangguhkan kebanyakan tarif selama 90 hari dan menurunkan tarif balas daripada 125% kepada 10%, namun AS masih mengekalkan tarif 20% ke atas import berkaitan fentanyl, menyebabkan jumlah tarif ke atas China kekal tinggi.

 

Pakar ekonomi kanan UOB, Julia Goh, bersetuju pengurangan tarif antara AS dan China memberi ruang untuk rundingan, tetapi belum cukup untuk menjamin perjanjian jangka panjang. 

 

Menurutnya, syarikat masih akan mencari pasaran alternatif bagi mengurangkan risiko dalam rantaian bekalan mereka.

 

Beliau berkata, Malaysia masih kekal sebagai destinasi pelaburan asing (FDI) yang menarik kerana negara mempunyai potensi dalam perluasan rantaian bekalan dan perdagangan serantau. 

 

"Sejak 2018, Malaysia menerima FDI berjumlah RM219 bilion dari AS, yang menunjukkan kepercayaan syarikat-syarikat AS terhadap Malaysia," jelasnya.

 

Ketua pegawai pelaburan Tradeview Capital, Nixon Wong pula berkata, kesan terhadap FDI Malaysia bergantung kepada kadar tarif yang dikenakan ke atas negara ini.

 

"Jika Malaysia dikenakan tarif lebih tinggi, jumlah FDI mungkin perlahan kerana syarikat akan mempertimbang pasaran lain untuk strategi China+1.

 

"Buat masa ini, FDI masih kukuh kerana dasar kerajaan yang menyokong kemasukan pelaburan dan minat syarikat untuk menubuhkan kilang di sini," ujarnya. - DagangNews.com