Malaysia Marine and Heavy Engineering peroleh kontrak daripada Vestigo Petroleum laksana projek kejuruteraan luar pesisir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Marine and Heavy Engineering peroleh kontrak daripada Vestigo Petroleum laksana projek kejuruteraan luar pesisir

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) memperoleh kontrak daripada Vestigo Petroleum Sdn Bhd bagi melaksanakan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC).

 

Kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), akan bertanggungjawab untuk membuat dua platform kepala telaga — Irong Timur dan Berantai Timur — masing-masing seberat kira-kira 1,500 tan metrik.

 

Katanya, apabila siap, kemudahan itu akan digunakan di luar pesisir Semenanjung Malaysia bagi menyokong rancangan pembangunan lapangan Vestigo, unit milik penuh Petronas Carigali Sdn Bhd.

 

Bagaimanapun, nilai kontrak itu tidak didedahkan.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Mohd Nazir Mohd Nor berkata, perkongsian antara kedua-dua kumpulan yang bermula pada 2016, dibina atas kerjasama dan komitmen bersama untuk menyampaikan rumusan luar pesisir berkualiti tinggi. 

 

"Kami amat berterima kasih kepada Vestigo atas kepercayaan dan berbesar hati untuk menyokong rancangan pembangunan mereka sekali lagi," katanya.

 

Beliau berkata, kontrak itu menekankan kepakaran dan reputasi MHB dalam minyak dan gas luar pesisir, mengukuhkan kecemerlangan teknikal dan keberkesanan kosnya dalam mendapatkan projek berbanding pesaing serantau.

 

Platform kepala telaga akan dibina di MMHE West Yard di Pasir Gudang, Johor, menggunakan kemudahan fabrikasi MHB dan kepakaran luar pesisir.

 

“Ketika bergerak ke hadapan, kami kekal komited melaksanakan semua projek dengan selamat, mengikut jadual, dan mengikut piawaian industri tertinggi,” katanya. - DagangNews.com