KUALA LUMPUR 11 Mac - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), mengumumkan kerjasama dengan FuelCell Energy Inc yang tersenarai di Nasdaq untuk membangunkan kemudahan pengeluaran bahan api rendah karbon di Malaysia.
Kerjasama itu yang dimeterai melalui perjanjian pembangunan bersama (JDA), merupakan langkah penting dalam usaha kedua-dua syarikat untuk memajukan teknologi pengeluaran hidrogen bersih dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan dan rendah karbon.
Ia susulan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Februari 2023, di mana kedua-dua syarikat bersetuju untuk meneroka kemudahan pengeluaran hidrogen di seluruh Asia, New Zealand dan Australia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Mohd Nazir Mohd Nor berkata, pihaknya teruja meneruskan kerjasama dengan FuelCell Energy seiring dengan objektif membangunkan rantaian nilai hidrogen di Malaysia.
"Dengan memanfaatkan keupayaan fabrikasi yang luas dari MHB dan teknologi sel elektrolisis oksida pepejal (SOEC) inovatif dari FuelCell Energy, kami mahu menyediakan rumusan boleh dipertingkatkan yang dapat menarik sokongan kuat pihak berkepentingan dan memacu kemajuan dalam peralihan tenaga.
"Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen kami untuk menyumbang kepada masa depan yang lebih bersih dan rendah karbon," katanya dalam satu kenyataan.
Di bawah JDA berkenaan, kedua-dua organisasi akan memberi tumpuan kepada kajian kebolehlaksanaan terperinci (DFS) untuk kemudahan pengeluaran bahan api rendah karbon di Malaysia.
Kemudahan itu akan menggunakan teknologi SOEC canggih dari FuelCell Energy, dengan karbon dioksida dan air sebagai bahan mentah, membuka jalan kepada pengeluaran hidrogen berskala besar.
Projek tersebut akan menggabungkan sistem pengeluaran hidrogen canggih dari FuelCell Energy dengan pengalaman fabrikasi luas MHB, menghasilkan rumusan fleksibel yang boleh ditingkatkan dan dilaksanakan dengan cepat untuk pengeluaran hidrogen komersial.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FuelCell Energy, Jason Few pula berkata, kerjasama dengan MHB adalah satu langkah penting untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran hidrogen dan bahan api rendah karbon.
"Ia juga menunjukkan capaian global serta kemampuan syarikat dalam projek berskala besar," ujarnya.
Sebagai sebahagian daripada DFS, kedua-dua syarikat itu juga akan bekerjasama dengan KBR LLC, sebuah syarikat teknologi sintesis bahan api rendah karbon, untuk memastikan piawaian kecekapan dan kelestarian alam sekitar yang tertinggi.
Inisiatif tersebut selaras dengan matlamat Malaysia untuk mencapai sifar karbon menjelang 2050, serta meningkatkan rantaian nilai hidrogen negara dan menyumbang kepada usaha pengurangan karbon global. - DagangNews.com








