KUALA LUMPUR 12 Feb (Bernama) — Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 masih kekal lagi tidak berubah di tempat ke-57, sama seperti posisi pada 2023, menurut Transparency International (TI) Malaysia.
Presidennya Dr Muhammad Mohan, ketika pembentangan kedudukan terkini Malaysia dalam indeks tersebut di sini hari ini berkata, markah negara tahun lalu juga adalah tetap sama seperti pada tahun sebelumnya iaitu 50 mata.
Dalam kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia menduduki tempat kedua terbaik selepas Singapura yang meraih 84 mata, diikuti Vietnam (40), Indonesia (37), Thailand (34), Filipina (33), Laos (33), Kemboja (21) dan Myanmar (16).
Kedudukan semasa CPI diukur berdasarkan kepada sejumlah 13 tinjauan serta penelitian pakar yang menilai tahap persepsi rasuah dalam sektor awam di 180 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Untuk rekod tahun tersebut, tiga negara teratas iaitu Denmark, Finland dan Singapura, disifatkan sebagai ‘negara bersih’, manakala Venezuela, Somalia dan Sudan Selatan berada di bahagian bawah indeks berkenaan.
Muhammad namun memuji beberapa perkembangan positif yang dilaksanakan kerajaan sepanjang tahun lalu untuk memerangi rasuah, seperti pelantikan Ketua Setiausaha Negara baharu, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang mengambil tanggungjawab memperjuangkan Strategi Pencegahan Rasuah Kebangsaan dan menerajui wawasan CPI untuk menjadi 25 teratas dalam ranking menjelang 2033.
Inisiatif utama lain termasuk meluluskan Akta Audit (Pindaan) 1957 di Parlimen pada Julai 2024, pindaan Akta Pemegang Amanah untuk mencegah penyelewengan oleh entiti amanah, dan semakan Akta Syarikat untuk menguatkuasakan pendedahan mandatori Pemilikan Berfaedah, dengan ketelusan lebih besar pada masa depan.
Bagaimanapun, Muhammad turut menekankan kepada empat kemungkinan menjadi punca skor Malaysia tidak berubah, dengan salah satunya adalah pandangan sektor perniagaan yang masih berasakan rasuah sebagai masalah dalam sektor awam.
Justeru kata beliau, untuk mencapai kedudukan ke-25 dalam CPI seperti yang disasarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang 2033, ia memerlukan usaha dan komitmen daripada semua pihak.
"Untuk berada di posisi terbaik itu, Malaysia perlu memperoleh 68 hingga 70 mata yang bermakna setiap tahun, negara kita mesti meningkatkan markah sekurang-kurangnya sebanyak dua mata," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Tadbir Urus Negara, Datuk Idris Zaharudin yang turut hadir berkata, hasil analisis ini akan dibentangkan kepada Pasukan Petugas Khas CPI yang ditubuhkan tahun lepas.
“Kami akan menganalisis isu yang diumumkan hari ini sebelum membawanya kepada pasukan petugas khas CPI yang dipengerusikan sendiri Ketua Setiausaha Negara dan akan mengeluarkan kenyataan selepas itu,” katanya. - DagangNews.com








