KUALA LUMPUR 25 Jun – Malaysia bakal menjadi hab serantau bagi syarikat lif terkemuka China, Brilliant Elevator Co. Ltd (BLT), selepas ia mengumumkan kerjasama strategik dengan syarikat tempatan, Dong Yang Elevator (M) Sdn Bhd.
Kerjasama itu dijangka memperkukuh pembangunan teknologi lif pintar serta memperluas operasi BLT di Asia Tenggara.
Sebagai sebahagian daripada pelan peluasan globalnya, BLT juga akan menubuhkan pusat logistik dan perkhidmatan pintar di Malaysia.
Pusat tersebut akan mengurus logistik gudang, pengedaran alat ganti, penyelenggaraan pintar, pemantauan jarak jauh dan khidmat pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Dong Yang, Yeow Ewe Hor berkata, kerjasama berkenaan penting untuk membina masa depan bandar pintar dan lestari di Malaysia.
“Industri lif di negara kita kini menuju ke arah sistem yang lebih selamat, hijau dan pintar.
"Kami juga menggunakan teknologi hijau dan sistem penyelenggaraan pintar mengikut piawaian global,” katanya seperti laporan The Star.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran rasmi jenama dan produk BLT di Malaysia, semalam.
Ia turut dihadiri lebih 200 tetamu termasuk wakil kerajaan dan pemain industri pembinaan, kejuruteraan serta penyelenggaraan.
Ewe Hor berkata, Dong Yang dan BLT telah menjual lebih 400 lif dan menyelenggara lebih 1,300 unit di seluruh negara sejak 2008.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) bagi membentuk sistem pengangkutan menegak yang lebih moden dan cekap di Malaysia.
BLT, yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Yuanda dari China, telah bertapak di Malaysia sejak 18 tahun lalu.
Menurut Pengurus Besar Jualan Antarabangsa BLT, Liu Ruisheng, syarikat kini berada dalam fasa penting untuk meningkatkan strategi globalnya.
“Kami mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat logistik untuk Asia Tenggara kerana lokasinya yang strategik dan kekuatan industrinya,” jelas beliau.
Katanya, eksport BLT kini dianggarkan bernilai lebih RM380 juta ke 140 negara, menjadikannya antara pengeksport lif utama dari China.
Selain Malaysia, BLT juga menubuhkan kilang di Arab Saudi dan akan membuka kilang baharu di Amerika Syarikat tahun ini.
Malaysia dan Arab Saudi akan menjadi dua pusat utama dalam pelan global syarikat itu.
BLT turut merancang untuk membuka kilang pemasangan tempatan dan melatih bakat dalam negara, serta beralih daripada hanya menjadi pembekal peralatan kepada penyedia rumusan bangunan pintar.
Setakat ini, BLT sudah melancarkan kempen pengenalan jenama di Vietnam, Arab Saudi dan Mexico. - DagangNews.com








