Malaysia dalam kedudukan baik berunding tarif dengan AS, kata MARC Ratings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia dalam kedudukan baik berunding tarif dengan AS, kata MARC Ratings

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 April - Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) berkenaan peningkatan tarif besar-besaran yang kini telah ditangguhkan sementara, kata MARC Ratings.

 

Tarif timbal balik oleh AS boleh mencetuskan “rundingan konstruktif” sama seperti rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang telah diubah menjadi Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA), kata agensi penarafan itu. 

 

Namun begitu, hasil seperti itu memerlukan pendekatan multilateralisme, ketelusan dan matlamat yang dikongsi bersama, katanya.

 

“Dalam konteks ini, kedudukan Malaysia dalam rundingan diperkuatkan oleh peranannya sebagai Pengerusi ASEAN, serta penyertaannya dalam pelbagai blok perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Malaysia merupakan ahli  Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta parti kepada lebih daripada sedozen perjanjian perdagangan bebas dua hala dan pelbagai hala.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Trump tangguh tarif lebih tinggi ke atas kebanyakan negara, China dinaikkan kepada 125%
 

Semalam, Presiden AS Donald Trump berkata, akan menangguhkan sementara rancangan kenaikan tarif timbal balik ke atas negara yang tidak bertindak balas. 

 

Malaysia sebelum ini berkata, ia akan cuba membincangkannya dengan AS dan bukannya melawan selepas dikenakan tarif 24%.

 

"Saya membenarkan penagguhan 90 hari dan tarif timbal balik yang diturunkan dengan ketara dalam tempoh ini, sebanyak 10%, juga berkuat kuasa serta-merta," kata Trump dalam catatan media sosial.

 

Selanjutnya, MARC Ratings berkata analisis sensitivitinya menunjukkan, kesan tarif ke atas Malaysia akan terurus, dengan ramalan pertumbuhan ekonomi mungkin jatuh ke arah lebih baik.

 

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia “diperkuatkan oleh asas ekonomi domestik yang kukuh”, yang menyumbang hampir dua pertiga daripada output ekonomi negara, menurut agensi itu.

 

Namun, sekiranya tarif itu diteruskan, pertumbuhan KDNK Malaysia boleh merosot sehingga satu mata peratusan setiap tahun, lebih-lebih lagi jika digabungkan dengan kemerosotan pertumbuhan serantau dan global, menurut anggaran MARC Ratings.

 

“Tambahan pula, kesan negatif perang perdagangan ini dijangka akan berterusan sehingga tahun 2026,” kata agensi itu. - DagangNews.com