KUALA LUMPUR 25 Jun - Malaysia merekodkan aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM51.5 billion pada tahun 2024, meningkat berbanding RM38.6 bilion pada tahun sebelumnya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah pendapatan syarikat asing di Malaysia turut meningkat kepada RM99.8 bilion, berbanding RM88.4 bilion pada 2023.
Katanya, peningkatan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh pendapatan daripada saham ekuiti dan dana pelaburan sebanyak RM95.9 bilion, serta pendapatan faedah RM3.9 bilion.
"Sehingga akhir tahun 2024, kedudukan terkumpul FDI negara mencecah RM995.5 bilion, berbanding RM924.0 bilion pada tahun sebelumnya," jelas DOSM dalam satu kenyataan.
Bagi pecahan pelaburan, ekuiti dan dana pelaburan menyumbang RM28.0 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM832.9 bilion.
Instrumen hutang pula mencatat aliran masuk RM23.5 bilion, dengan jumlah terkumpul RM162.6 bilion.
Mengikut sektor, industri perkhidmatan menerima pelaburan FDI tertinggi sebanyak RM39.4 bilion, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM524.8 bilion.
Sektor pembuatan pula mencatat pendapatan tertinggi daripada FDI, iaitu RM54.6 bilion, diikuti sektor perkhidmatan.
Dari segi geografi, rantau Asia menyumbang pelaburan tertinggi sebanyak RM50.3 bilion, terutamanya dari Singapura dan Hong Kong.
Pelabur dari rantau ini juga memperoleh pendapatan tertinggi iaitu RM46.5 bilion pada tahun 2024. - DagangNews.com








