KUALA LUMPUR 25 April - Malaysia diramal memotong unjuran pertumbuhan ekonominya berikutan tekanan daripada pengenalan tarif timbal balik selain sedang berusaha mendapatkan perjanjian perdagangan "adil" menerusi rundingan bersama pegawai-pegawai Amerika Syarikat bermula minggu ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan juga sedang menyemak semula unjuran pertumbuhan rasmi antara 4.5% hingga 5.5% bagi 2025 selepas AS mengenakan tarif timbal balik awal bulan ini yang mewujudkan ketidaktentuan perdagangan.
“Apa yang berlaku dalam tiga minggu kebelakangan ini mungkin lebih sukar daripada apa yang dijangka.
"Kemungkinan besar perdagangan global akan merosot, tetapi persoalan utama ialah sejauh mana kesannya?,” katanya dalam satu temu bual semasa mesyuarat bersama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)-Bank Dunia di Washington, pada Khamis, lapor Bloomberg.
Amir Hamzah berkata, kerajaan sedang menyemak semula unjuran ekonomi dan akan mengumumkannya dalam beberapa bulan akan datang.
Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan daripada jangkaan pada suku pertama, walaupun sebelum AS mengumumkan tarif terhadap rakan dagang. IMF menjangkakan ekonomi Asia Tenggara berkembang sebanyak 4.1% tahun ini.
Malaysia merancang untuk memulakan rundingan perdagangan dengan AS pada Khamis, dengan harapan dapat mengelakkan tarif “timbal balik” sebanyak 24% dari ekonomi terbesar dunia itu yang kini ditangguhkan selama 90 hari.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadualkan bertemu dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer dan Malaysia akan menjadi negara Asia terbaharu yang memulakan rundingan rasmi dengan AS, menyertai Jepun dan Vietnam.
Pegawai Malaysia merancang untuk memberi penekanan ke atas rakan sejawatnya dari AS tentang peranan penting negara dalam rantaian bekalan global, terutamanya dalam sektor semikonduktor dan syarikat AS yang menghasilkan barangan di Malaysia, kata Amir Hamzah.
Beliau berkata, walaupun Malaysia mencatatkan lebihan dagangan keseluruhan dengan AS, perdagangan dan perkhidmatan adalah dalam keadaan defisit.
“Kita mesti bersedia untuk melihat apa yang boleh dilakukan, selagi ia tidak mengganggu struktur ekonomi dalam negara.
"Letakkan semuanya di atas meja dan bincangkan apa yang adil atau tidak adil,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia bersedia menghadapi kesan terhadap pertumbuhan, sambil merujuk kepada ruang perbelanjaan fiskal dan peningkatan pelaburan daripada syarikat berkaitan kerajaan.
Katanya, walaupun harga minyak menurun, negara masih merancang untuk meneruskan penyasaran semula subsidi petrol pada pertengahan 2025, dengan sistem dua lapisan di mana hanya 15% golongan terkaya akan membayar harga pasaran.
Amir Hamzah berkata, negara juga boleh meningkatkan koordinasi dan perdagangan serantau apabila tekanan global semakin memuncak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga merupakan Menteri Kewangan, telah menyatakan, Malaysia sebagai pengerusi semasa ASEAN, akan mengetuai usaha untuk menyelaraskan tindak balas serantau Asia Tenggara terhadap tarif AS. - DagangNews.com








